

LAWAS: Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, telah mengadakan lawatan dan pemantauan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trusan hari in
Lawatan tersebut bertujuan meninjau aspek keselamatan, disiplin pelajar serta mengukuhkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak sekolah.
Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Insp. Muhammad Akmal Hakim bin Muhammad Noor, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KBPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas, SM Sahjinan Mokhtar serta beberapa pegawai dan anggota IPD Lawas.
Ketibaan rombongan disambut oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Trusan, Liaw Chee Chiang.
Dalam lawatan itu, DSP Liong turut menyampaikan taklimat dan mengadakan sesi perbincangan bersama pihak sekolah. Beliau memberikan nasihat berkaitan disiplin murid, larangan membawa barangan terlarang ke kawasan sekolah serta membincangkan isu semasa berkaitan keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Beliau juga meninjau sekitar kawasan sekolah bagi menilai tahap keselamatan, disiplin pelajar serta keadaan persekitaran. Lawatan ini bertujuan memastikan suasana pembelajaran yang selamat dan kondusif dapat dikekalkan.
DSP Liong menegaskan komitmen PDRM untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak sekolah melalui pelbagai program dan inisiatif demi manfaat pelajar serta warga sekolah dari semasa ke semasa.
Lawatan tersebut mencerminkan keprihatinan PDRM dalam memastikan institusi pendidikan kekal sebagai persekitaran yang selamat, harmoni dan bebas daripada gejala sosial serta jenayah.
Oleh Adeng Edrus