
SARIKEI: Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) akan terus menitikberatkan pematuhan terhadap prosedur dan tatacara yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan secara telus, berintegriti dan bebas daripada dakwaan penyalahgunaan kuasa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, setiap projek yang dilaksanakan perlu mematuhi garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan.
Katanya, walaupun terdapat keperluan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan, aspek tadbir urus yang baik tidak boleh diketepikan demi memastikan ketelusan dan akauntabiliti sentiasa terpelihara.
“Kalau kita lihat dari segi prosedur yang telah diperkenalkan oleh Setiausaha Kewangan Negeri dan juga Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta agensi berkaitan, kita harus mematuhi syarat dan prosedur tertentu supaya pelaksanaannya berintegriti dan telus.
“Kita tidak dapat mengelakkan daripada menggunakan prosedur tersebut supaya kita sebagai wakil rakyat tidak dituduh menyalahgunakan kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai mekanisme terkini untuk mempercepatkan pelaksanaan projek RADDA selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu RADDA di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, semalam.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang dan Pengerusi RADDA berkata, setiap agensi pelaksana juga mempunyai garis panduan yang jelas bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut peraturan dan standard yang ditetapkan.
“Maklumlah pada masa kini, macam (projek) yang ada sedikit (masalah) akan ditularkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Oleh sebab itu, kita memberi penekanan kepada pematuhan prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, walaupun prosedur tertentu kadangkala boleh memanjangkan tempoh pelaksanaan projek, langkah tersebut penting bagi melindungi semua pihak daripada sebarang dakwaan atau persepsi negatif.
“Jadi, memanglah prosedur ini juga boleh melambatkan, tapi kalau kita ikut prosedur ini, ia juga akan dapat mengelakkan kita daripada dituduh menyalahgunakan kuasa atau tidak melakukan kerja,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata RADDA kini mempunyai 90 projek pembangunan yang telah diluluskan dengan nilai keseluruhan RM1.525 bilion melibatkan Bahagian Sarikei, Bahagian Mukah dan termasuk sedikit kawasan di Daerah Sibu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 projek kini berada dalam fasa pelaksanaan dengan enam projek berjalan mengikut jadual, dua projek mengalami kelewatan, enam projek mendahului jadual ditetapkan, manakala satu projek yang telah siap sepenuhnya.
Katanya, perkembangan tersebut menunjukkan prestasi keseluruhan pelaksanaan projek RADDA berada pada tahap memuaskan meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk proses perolehan, kapasiti agensi pelaksana dan faktor luaran yang memerlukan pemantauan berterusan.
Oleh Earl Anek