
KUCHING: Seramai 343 peserta yang berjaya melepasi proses tapisan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyertai Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Kelas B2 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah dan menjalani Ujian Bahagian 1 di Sekolah Menengah Min Lit Batu Kawah, hari ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah hadir menyantuni para peserta program berkenaan.
Program tersebut merupakan inisiatif bagi membantu golongan yang layak memperoleh lesen memandu motosikal secara sah, sekali gus meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya dan melahirkan pengguna jalan raya yang lebih berpengetahuan serta bertanggungjawab.


Selain memperkasakan mobiliti rakyat, pelaksanaan program itu turut mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat melalui akses kepada kemudahan pelesenan yang lebih mudah dan tersusun.
Turut hadir Penyelaras Program Bantuan Lesen JPJ Sarawak, Mohd Elly Arbi serta wakil Pengurus Institut Memandu MKM, Chung Hui Min.
Oleh Shikin Mahmud