ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Sarawak membenarkan dua ahli keluarga dari rumah yang sama bergerak dalam satu kenderaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berkuat kuasa serta merta semalam.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak telah memutuskan untuk mengikut keputusan peringkat nasional dengan membenarkan ketua keluarga membawa seorang lagi ahli keluarga dalam sebuah kenderaan untuk melakukan perjalanan.
“Mulai semalam, Sarawak akan mematuhi peraturan nasional dan sekarang kita akan membenarkan dua ahli keluarga terdekat untuk melakukan perjalanan dalam sebuah kereta.
“Ia hanya untuk tujuan membeli makanan, ubat-ubatan, keperluan harian, makanan tambahan atau barang lain dari mana-mana penyedia perkhidmatan penting atau untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan.
“Namun kita tegaskan tidak boleh lebih daripada dua orang di dalam sebuah kereta,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan, di sini, semalam.
Pada Rabu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya berkata, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk memberi sedikit kelonggaran bagi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam PKP fasa keempat dengan membenarkan dua orang bergerak dalam satu kenderaan bermula, Rabu.
Menurut Sabri, mereka ini mesti terdiri daripada ahli keluarga dari rumah yang sama dan pergerakan itu bagi membeli makanan dan barang keperluan harian sahaja.
Sementara itu, Uggah pada satu sidang media di Kota Samarahan petang Rabu ketika ditanya pemberita mengenai sama ada Sarawak akan mengikut kelonggaran berkenaan, menyatakan beliau masih belum menerima sebarang maklumt rasmi daripada Kuala Lumpur berhubung perkara ini
“Kita perlu berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan penting pada masa yang sangat kritikal ini kerana ini boleh memberi kesan yang besar kepada negeri.
“Ini kerana pada penghujungnya kita masih sedang berusaha memerangi pandemik Covid-19,” ujarnya.
Tegasnya, semua itu amat penting memandangkan banyak berita palsu yang terus ditularkan dan dikongsi di media sosial.
Terdahulu dalam PKP fasa ketiga, Sarawak membenarkan dua orang dalam sebuah kenderaan atau motosikal di kawasan luar bandar hanya untuk tujuan ke kebun atau ladang bagi menuai padi, kelapa sawit dan menoreh getah.