

KUCHING: Duta Besar Hungary ke Malaysia, Dr Sandor Sipos berpeluang mendekati sejarah dan kepelbagaian budaya Sarawak menerusi lawatan ke Muzium Budaya Borneo (BCM), di sini, hari ini.
Beliau yang sedang dalam rangka lawatan kerja ke Sarawak diiringi Timbalan Ketua Misi Hungary, Kamilla Balla, Konsul Kehormat Hungary, Dato Damien Chua serta beberapa delegasi lain.
Sepanjang lawatan tersebut, Dr Sandor dibawa meninjau pelbagai galeri pameran yang memaparkan sejarah, warisan dan budaya masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Beliau turut meluangkan masa melihat koleksi artifak serta pameran interaktif yang mengetengahkan keunikan etnik di negeri ini, sekali gus memberikan gambaran menyeluruh mengenai identiti dan perkembangan Sarawak.
Lawatan berkenaan bukan sahaja membuka peluang kepada delegasi Hungary untuk mengenali Sarawak dengan lebih dekat, malah menjadi platform memperkukuh hubungan persahabatan dan pertukaran budaya antara kedua-dua pihak.
Terdahulu, Dr Sandor mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak. – UKAS