


PARIS: Kenderaan pelancar Ariane 6 milik Eropah berjaya dilancarkan ke angkasa lepas pada Rabu dengan menggunakan penggalak baharu yang lebih berkuasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Roket itu dilancarkan pada sebelah petang dari pelabuhan angkasa Eropah di Kourou, Guiana Perancis, dengan membawa 36 satelit bagi pihak Amazon.
Ariane 6 merupakan pengganti kepada Ariane 5 yang beroperasi dari 1996 hingga 2023. Roket itu dilancarkan buat kali pertama pada pertengahan 2024.

Menurut Agensi Angkasa Eropah (ESA), Ariane 6 akan digunakan untuk menghantar satelit ke angkasa lepas bagi pelanggan komersial dan awam.
Bergantung kepada misi, roket yang fleksibel itu boleh dilengkapi dengan dua atau empat penggalak bahan api pepejal.
Lebih sedozen negara terlibat dalam pembinaan Ariane 6.
Peringkat atas roket itu dipasang di Jerman, manakala komponen utama serta sistem enjinnya turut dihasilkan dan diuji di kemudahan yang terletak di negara itu.- Bernama-dpa