
SIMANGGANG: Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Sri Aman telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ma’al Hijrah 1448H Peringkat Negeri Sarawak bagi Kategori Sekolah Agama Rendah, hari ini.
Penghargaan berprestij itu disampaikan sendiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sempena Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1448H / 2026M yang berlangsung di Stadium Bandaraya Miri.
Guru Besar SK Agama (MIS) Sri Aman, Yahkup Rahim, menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT atas pengiktirafan besar yang diterima oleh institusi pendidikan tersebut.
”Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur, sekolah kami telah menerima anugerah ini.
“Sesungguhnya pengiktirafan ini bukan milik seorang individu, tetapi merupakan hasil usaha, komitmen dan doa seluruh warga sekolah, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) serta komuniti yang sentiasa bersama-sama mendukung kecemerlangan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yahkup turut menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, idea, dan sokongan berterusan sepanjang perjalanan sekolah memburu kecemerlangan.
Menurut beliau, kejayaan tersebut menjadi bukti kukuh bahawa tiada perkara yang mustahil untuk dicapai apabila semua pihak bergerak dengan semangat kekitaan.
”Kejayaan ini menjadi bukti bahawa apabila kita bergerak dalam semangat kebersamaan, insya-Allah segala cabaran mampu diharungi dan kejayaan dapat diraih bersama.
“Seperti kata pepatah, ‘bukan kerana hebatnya seorang, tetapi kerana kuatnya kebersamaan’,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai tema Ma’al Hijrah tahun ini, iaitu “Ummah Maju Makmur”, Yahkup berharap agar anugerah ini tidak sekadar menjadi kebanggaan, tetapi menjadi pemangkin semangat untuk terus memperkukuh kualiti pendidikan.
Beliau mahu warga sekolah terus komited dalam memupuk akhlak mulia serta melestarikan budaya kecemerlangan demi manfaat generasi masa hadapan.
”Marilah kita menjadikan kejayaan ini sebagai amanah dan motivasi untuk terus berusaha, berinovasi dan menyumbang ke arah pembangunan ummah yang berilmu, berintegriti dan sejahtera.
“Tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga SK Agama (MIS) Sri Aman serta komuniti yang sentiasa bersama melakar kejayaan ini,” tambahnya.
Oleh Adi Safarman