Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Petani Sri Aman digesa manfaat teknologi moden lonjak pengeluaran padi negara
  • Selatan
  • WILAYAH

Petani Sri Aman digesa manfaat teknologi moden lonjak pengeluaran padi negara

Utusan Sarawak 8 hours ago
DATUK Mong Dagang merasmikan penutupan Kursus In-Situ Diseminasi Teknologi Tanaman Padi yang berlangsung selama dua hari di Rumah Gendi, Sungai Semilang, Tanjung Bijat, semalam. Foto: Jabatan Pertanian Daerah Sri Aman

LINGGA: Sektor pertanian, khususnya tanaman padi, perlu diperkasakan dengan penggunaan teknologi moden bagi memastikan hasil pengeluaran yang lebih berkualiti sekali gus mampu meningkatkan pendapatan golongan petani.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang menegaskan bahawa para petani harus mengubah minda dengan melihat bidang pertanian bukan sekadar aktiviti sara diri, melainkan sebagai satu sektor perniagaan yang berdaya maju dan menguntungkan.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyediakan sokongan padu melalui program latihan, bantuan input pertanian, serta kemudahan akses pasaran.

DATUK Mong Dagang merasmikan penutupan Kursus In-Situ Diseminasi Teknologi Tanaman Padi yang berlangsung selama dua hari di Rumah Gendi, Sungai Semilang, Tanjung Bijat, semalam. Foto: Jabatan Pertanian Daerah Sri Aman

Pada masa yang sama, beliau turut menggalakkan penglibatan generasi muda memandangkan sektor ini mempunyai potensi yang sangat besar dalam memacu pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.

“Kejayaan sesebuah program pertanian bergantung kepada kerjasama erat antara petani, komuniti setempat, dan agensi kerajaan. Bagaimanapun, pembangunan ini perlu dilaksanakan secara lestari bagi menjaga keseimbangan ekosistem dan memelihara sumber semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Kursus In-Situ Diseminasi Teknologi Tanaman Padi yang berlangsung selama dua hari di Rumah Gendi, Sungai Semilang, Tanjung Bijat, semalam.

Dalam ucapan sama, Mong turut menyentuh kepentingan penguasaan sistem digital seperti aplikasi E-Tani yang bertujuan untuk memudahkan urusan pemasaran, pengumpulan data, serta melancarkan komunikasi antara petani dengan agensi kerajaan.

Kursus yang dihadiri oleh seramai 70 orang peserta itu dianjurkan bersama oleh Pejabat Pertanian Daerah Sri Aman dan Pusat Latihan Pertanian (PLP) Nanga Kesit. Program ini bertujuan memberi pengetahuan, meningkatkan kemahiran teknologi pertanian, serta mendedahkan golongan sasar kepada aspek pengeluaran dan pemasaran yang sistematik.

Sepanjang dua hari program berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian intensif menerusi empat sesi taklimat utama. 

Taklimat pengenalan kursus disampaikan oleh Alexander Geraman dari Bahagian Pengembangan Ibu Pejabat, diikuti dengan taklimat pengenalan teknologi dan varieti padi oleh Chadum Lawan dari Pejabat Pertanian Bahagian Sri Aman. 

Menerusi sesi tersebut, peserta diperkenalkan kepada varieti padi baharu yang lebih rintang penyakit dan berdaya hasil tinggi, selain penggunaan mesin penabur benih serta sistem pengairan cekap.

Bagi aspek perlindungan tanaman, wakil daripada Agricultural Chemicals (M) Sdn Bhd (ACM), Spittcy Clive, berkongsi kepakaran mengenai kaedah Kawalan Bersepadu (IPM) bagi menangani ancaman penyakit seperti hawar daun bakteria serta serangan perosak. 

Sementara itu, Chelester Baling dari Syarikat Advansia Sdn Bhd mengendalikan sesi praktikal mengenai teknik penyediaan tanah, sistem semaian, pembajaan seimbang, sehinggalah kepada pengurusan tuaian dan pasca tuai menggunakan jentera moden demi menjaga kualiti beras di pasaran.

Secara keseluruhannya, kursus ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam menyemai semangat baharu kepada komuniti peladang. 

Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, program seumpama ini diharap dapat diperluaskan ke kawasan lain bagi merealisasikan hasrat menjadikan Sri Aman sebagai antara pusat pengeluaran padi utama di Sarawak.

Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh wakil Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Badin Unor, Pengetua PLP Nanga Kesit Elizabeth Siah Let, Pegawai Menguasa Pejabat Pertanian Daerah Sri Aman Zakeria Yahood, serta ketua-ketua masyarakat setempat.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Projek bekalan air bernilai RM140,000 manfaatkan 35 pintu rumah panjang
Next: Operasi pembersihan saluran paip dipergiat, aduan air keruh di Kuching menurun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.