Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pendidikan pelaburan terbaik untuk masa depan generasi muda
  • Tengah
  • WILAYAH

Pendidikan pelaburan terbaik untuk masa depan generasi muda

Utusan Sarawak 11 hours ago
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii bersama pentadbiran SJKC Tong Hua memotong kek sempena sambutan Hari Guru di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tong Hua. Foto: Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

BINTANGOR: Pendidikan merupakan pelaburan paling berharga dalam membentuk masa depan generasi muda dan perlu terus diberi keutamaan tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau fahaman politik.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata setiap murid berhak menikmati peluang pendidikan yang sama bagi membolehkan mereka membina masa depan yang lebih baik.

“Perasmian kemudahan baharu ini bukan sekadar penambahan peralatan sekolah, sebaliknya melambangkan komitmen berterusan dalam memperkasakan pendidikan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada murid,” katanya.

“Kita semua adalah satu keluarga. Tidak kira apa latar belakang kita, anak-anak kita berhak mendapat peluang yang sama untuk belajar dan membina masa depan mereka. Itulah komitmen saya,” tegasnya.

Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei berkata demikian ketika merasmikan panel skrin LED baharu serta sambutan Hari Guru di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tong Hua, baru-baru ini.

Katanya, pendidikan merupakan bidang yang tidak boleh dikompromi kerana ia menjadi asas utama dalam melahirkan generasi berilmu, berkemahiran serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Beliau menjelaskan bahawa sokongan yang diberikan kepada SJKC Tong Hua bukan didorong oleh pertimbangan politik, sebaliknya berasaskan tanggungjawab dan kepercayaan bahawa setiap pelaburan dalam bidang pendidikan akan membawa manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang.

WARGA SJKC Tong Hua bergambar bersama Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii selepas sambutan Hari Guru di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tong Hua. Foto: Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

“Saya tidak melihat ini dari sudut politik, sebaliknya dari sudut masa depan anak-anak kita,” katanya.

“Selagi ada impian dan harapan dalam diri mereka, selagi itulah saya akan terus berusaha menyediakan kemudahan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Tegasnya, usaha memperkukuh kemudahan pendidikan perlu disokong oleh semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pihak sekolah dan komuniti setempat bagi memastikan murid dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa dan berkesan.

Beliau turut menyeru seluruh komuniti sekolah agar terus bersatu padu dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif serta menyokong pembangunan sahsiah dan akademik murid.

Tiong Sii yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok turut menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM15,000 kepada Lembaga Pengurusan SJKC Tong Hua bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan dan pembangunan sekolah.

Beliau berharap sumbangan itu dapat membantu pihak sekolah meneruskan pelbagai program pendidikan yang memberi manfaat kepada murid serta memperkukuh kecemerlangan sekolah pada masa hadapan.

Oleh Earl Anek

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Meradong bakal miliki kolam renang moden bernilai RM22.4 juta
Next: Wheeltrak Tyre (M) juara Bola Tampar lelaki Liga Sukan Komuniti Sibu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.