Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Dakwaan 30,000 pelajar masuk UA ikut pintu belakang tuduhan berat – Zambry
  • SEMASA

Dakwaan 30,000 pelajar masuk UA ikut pintu belakang tuduhan berat – Zambry

Utusan Sarawak 9 hours ago
MENTERI Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bercakap kepada media pada Majlis Peluncuran Program Rintis Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Peringkat Universiti Awam di Panggung Percubaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Dakwaan terdapat 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti awam (UA) melalui pintu belakang sebagai tuduhan amat berat yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem pendidikan tinggi negara. 

Beliau berkata dakwaan tidak berasas itu bukan sahaja mencemarkan imej UA, malah mewujudkan persepsi buruk seolah-olah peluang pelajar yang layak telah dirampas demi kepentingan kewangan.

Katanya naratif sedemikian memberikan implikasi besar terhadap kepercayaan masyarakat, khususnya ibu bapa dan pelajar yang sedang mengikuti proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Sistem kemasukan ke universiti awam di negara ini dilaksanakan melalui mekanisme yang jelas, telus dan berasaskan merit serta syarat kelayakan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Zambry berkata sekiranya benar terdapat puluhan ribu pelajar memasuki universiti melalui saluran tidak sah, pihak yang membuat tuduhan berkenaan perlu mengemukakan bukti dan fakta bagi menyokong dakwaan mereka. 

Katanya tuduhan sebesar itu tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya kerana dalam dunia akademik, setiap angka yang disebut mesti mempunyai sumber, metodologi serta asas yang boleh diuji kebenarannya.

“Atas pertimbangan tersebut, beberapa universiti awam telah mengambil langkah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Tindakan ini bukan bertujuan menutup ruang kritikan atau menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan setiap tuduhan yang dilemparkan dapat dibuktikan dan dipertanggungjawabkan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyebarkan tuduhan tanpa asas kerana dalam dunia akademik, hujah mestilah dijawab dengan fakta, manakala analisis disokong oleh data selain bukti yang kukuh.

Katanya pihak yang melemparkan tuduhan perlu bertanggungjawab sekiranya gagal mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong kenyataan yang telah dikeluarkan.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa bersikap terbuka terhadap teguran membina demi memperbaiki kelemahan sistem pendidikan negara, namun ia tidak bermakna tuduhan keterlaluan boleh dibiarkan tanpa sebarang asas.

Katanya KPT akan terus mempertahankan integriti institusi pendidikan tinggi negara dan memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia tidak dicemarkan oleh dakwaan yang tidak berasas. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: MRGEC 2026 perkukuh kerjasama, kongsi kepakaran geoteknikal serantau
Next: Melindungi pemandu e-hailing harus jadi keutamaan negara – Lee

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.