

BAU: Seorang lelaki berusia 60 tahun maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Mitsubishi Pajero dan sebuah pikap Mitsubishi Triton di Kilometer 20 Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Bau-Lundu, berhampiran persimpangan pusingan P Kampung Sipadah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman, berkata pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui talian MERS 999 sekitar 1.45 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Mitsubishi Triton yang dipandu seorang penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berusia 22 tahun sedang bergerak dari arah Lundu menuju ke Kuching sebelum sebuah Mitsubishi Pajero tiba-tiba keluar dari persimpangan pusingan P Kampung Sipadah.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu Triton tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kiri Pajero,” katanya.
Pemandu Pajero yang bekerja sebagai juruelektrik dan berasal dari Kampung Stenggang, Jalan Bau-Lundu, mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Bau oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Penyelamat (EMRS).
Mohd Haide berkata mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Bau sekitar 3.17 petang.
Pemandu Triton pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut beliau, keadaan jalan ketika kejadian adalah kering manakala cuaca berada dalam keadaan baik.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Pajero semasa membuat pusingan P,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.
Kedua-dua kenderaan yang terlibat telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk pemeriksaan lanjut oleh PUSPAKOM dan Jabatan Kimia Malaysia, manakala proses bedah siasat dijadualkan dijalankan pada 18 Jun.
Mohd Haide turut memaklumkan bahawa kemalangan tersebut tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana berlaku di luar waktu puncak.
Oleh Connie Chieng