NEW YORK, Amerika Syarikat, 12 November: Seorang maut manakala beberapa individu lain cedera selepas sebuah bangunan tiga tingkat runtuh berhampiran tapak pembinaan di New York, menurut pihak berkuasa bandar raya itu.
Imej dari lokasi kejadian menunjukkan anggota bomba menyelongkar timbunan runtuhan di hadapan sebuah bangunan yang dipercayai kediaman. Dinding bangunan berkenaan runtuh sehingga mendedahkan ruang bilik tidur dan almari pakaian.
Media Amerika Syarikat melaporkan beberapa mangsa berjaya dikeluarkan dari timbunan runtuhan, termasuk seorang kanak-kanak yang dibawa menggunakan pengusung.

Jabatan Bomba New York (FDNY) berkata pihaknya menerima laporan mengenai individu yang terperangkap selepas bangunan di daerah Flatbush, Brooklyn, runtuh kira-kira 4.00 petang (waktu tempatan).
FDNY memaklumkan seorang mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, manakala sekurang-kurangnya empat individu lain dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal. Enam lagi mengalami kecederaan ringan.

Punca kejadian masih belum diketahui. Beberapa organisasi media melaporkan bangunan itu runtuh ke dalam kawasan penggalian di tapak bersebelahan.
Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Anthony memberitahu PIX11 News bahawa beliau terdengar jeritan orang ramai serta bunyi kuat seperti letupan bom ketika bangunan itu runtuh.
Jabatan Bangunan bandar raya itu berkata para pemeriksanya berada di lokasi kejadian untuk membantu operasi menyelamat serta memeriksa kestabilan struktur bangunan berhampiran.

Rakaman televisyen menunjukkan puluhan kenderaan kecemasan memenuhi kawasan kejadian. Anggota bomba dilaporkan menggunakan gergaji rantai dan anjing pengesan bagi membantu mencari mangsa yang terselamat.
Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, menggesa orang ramai supaya menjauhi kawasan berkenaan.
“Ketika operasi kecemasan masih berlangsung, marilah kita sama-sama mengingati jiran dan anggota masyarakat yang terjejas,” tulisnya menerusi platform X. – AFP





