Menemukan Benih Suara Kepengarangan dalam Puisi

Facebook
WhatsApp

PUISI yang baik tidak semestinya lahir daripada kata-kata yang rumit, metafora yang bertingkat-tingkat mahupun yang sarat dengan hiperbola. Kadangkala kekuatan sesebuah puisi terletak pada keupayaan penyair melihat sesuatu yang biasa dengan pandangan yang luar biasa.

Sebuah sawah, jalan raya dan dinding rumah, misalnya boleh menjadi ruang yang luas untuk membicarakan kehidupan, perjuangan, penderitaan, harapan, kasih sayang dan kehilangan.

Di sinilah bermulanya suara kepengarangan, iaitu keupayaan seseorang penyair menemukan cara tersendiri untuk melihat, mentafsir dan mengungkapkan dunia kepada khalayak.

Kali ini, tiga puisi kita akan teliti, iaitu “Musim” karya Ibnu Hasan, “Sekumpulan Tuhan di Atas Jalan” hasil karya Ben Galayan dan “Sudahkah Dinding Rumah Kita Terhibur?” yang ditukangi oleh Abu Adil.

Ketiga-tiganya memperlihatkan kecenderungan pengucapan yang menarik. Setiap satu mempunyai benih kepenyairan yang boleh dikembangkan melalui pengamatan, pengolahan bahasa dan kesungguhan melakukan penyuntingan.

Puisi pertama, iaitu puisi “Musim” karya Ibnu Hasan memperlihatkan kecenderungan kepengarangan yang berpaksikan alam, khususnya alam pertanian dan kehidupan masyarakat yang berhadapan dengan ketidaktentuan cuaca.

“Musim” menggambarkan kehidupan manusia secara universal melalui pengalaman khusus seorang petani. Pada lapisan literal, puisi ini memperlihatkan perjuangan petani menghadapi perubahan cuaca, kemarau dan ancaman banjir.

Namun, pada lapisan simbolik, pengalaman tersebut menjadi metafora kehidupan manusia yang sentiasa berhadapan dengan kesukaran, kehilangan, tanggungjawab dan ketidakpastian.

Imej “tanah merekah” melambangkan ujian kehidupan, “sisa benih” membawa makna harapan, “parut air” menggambarkan luka masa lalu, manakala “kolek yang tertambat” mencerminkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan yang mendatang.

Kemarau dan tengkujuh bukan sekadar fenomena alam, tetapi perlambangan fasa kehidupan yang silih berganti dengan pelbagai cabaran.

Lapisan falsafah puisi ini terletak pada ketahanan manusia untuk meneruskan kehidupan meskipun dibayangi pengalaman pahit dan kebimbangan terhadap masa depan.

Manusia sentiasa hidup antara kenangan yang pernah berlaku dengan ketidakpastian tentang peristiwa yang bakal mendatang. Namun, kehidupan perlu diteruskan dengan mempertahankan sesuatu yang masih bernilai.

Sebab itulah imej “sisa benih” begitu bermakna dalam puisi ini kerana benih bukan sekadar lambang usaha, bahkan tanda harapan dan peluang untuk memulakan kehidupan semula.

Tajuk “Musim” juga mempunyai makna yang luas kerana bukan hanya merujuk perubahan cuaca bahkan turut melambangkan fasa kehidupan manusia. Persoalan yang mendasari puisi ini ialah apabila musim kehidupan berubah daripada kemarau kepada tengkujuh, apakah yang sebenarnya perlu diselamatkan oleh manusia?

Bagi saya, jawapannya ialah harapan. Mengapa? Hal ini kerana selagi harapan masih ada kehidupan sentiasa mempunyai ruang untuk bermula kembali. Setuju, bukan?

Perhatikan, Ibnu Hasan tidak sekadar menggambarkan perubahan musim, sebaliknya menjadikan fenomena “El Nino”, “tengkujuh”, “benih”, “air” dan kolek” sebagai lambang perjuangan hidup manusia bergelumang dengan gemulung gelombang kehidupan dan daya tahan manusia menghadapi ketidaktentuan kehidupan.

Baris pembukaan, “Di tengah petak sawah / kuraup bongkah El Nino yang merekah” memperlihatkan keberanian Ibnu Hasan menggabungkan fenomena iklim dengan tindakan fizikal manusia.

“El Niño” yang lazimnya merupakan fenomena meteorologi diberikan sifat seolah-olah bongkah yang boleh “diraup”. Di sini, Ibnu Hasan telah menemukan satu imej yang menarik kerana kemarau bukan sekadar dilihat sebagai keadaan cuaca tetapi sebagai sesuatu yang membebani kehidupan manusia.

Ibnu Hasan seterusnya mengalihkan perhatian daripada sawah kepada rumah dan keluarga. Baris “Pada tiang rumah / parut air tahun lalu / masih setinggi bahu anakku” merupakan antara bahagian yang meninggalkan kesan.

Ungkapan “parut air” membawa makna yang lebih mendalam daripada kesan banjir semata-mata. Air yang pernah melimpah meninggalkan parut pada rumah bahkan pada ingatan sebuah keluarga.

Perbandingan ketinggian air dengan bahu anak pula memberikan ukuran manusiawi terhadap pengalaman bencana. Ibnu Hasan tidak perlu lagi menjelaskan betapa besarnya banjir kerana imej tersebut sudah menghadirkan visual di minda pembaca.

Begitu juga dengan imej “tempayan menadah langit kering” yang memperlihatkan hubungan antara alam dan keperluan hidup. Penutup puisi melalui imej “kolek, / sudah tertambat” pula meninggalkan persoalan yang menarik.

Kolek ialah perahu yang mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan masyarakat pesisir dan sungai. Imej ini boleh dibaca sebagai tanda persediaan menghadapi musim bah tetapi juga boleh membawa makna penantian terhadap perubahan keadaan.

Di sinilah kekuatan suara kepengarangan Ibnu Hasan. Beliau berpotensi membina identiti melalui puisi-puisi yang bertaut pada geografi, alam dan pengalaman masyarakat setempat.

Pengalaman setempat tidak seharusnya dianggap kecil atau terbatas. Sebaliknya, pengalaman yang bersifat sangat setempat boleh mengangkat persoalan sejagat apabila diolah dengan kepekaan sastera.

Sebagai cadangan penambahbaikan, Ibnu Hasan boleh memberikan perhatian kepada kesinambungan simbol dan hubungan antara imej. Misalnya, apakah hubungan yang ingin dibina antara kemarau, tengkujuh, benih, parut air dan kolek?

Jika kesemua imej ini disusun sebagai satu jaringan makna yang lebih terancang, puisi akan memperoleh kedalaman simbolik yang lebih kukuh. Ibnu Hasan juga boleh meneliti semula ketepatan ungkapan “kuraup bongkah El Nino” supaya kejanggalan yang disengajakan itu benar-benar memberikan kesan estetik.

Ibnu Hasan perlu terus bermain dengan alam sebagai sumber ilham. Teruskan pengamatan terhadap sawah, sungai, laut, rumah dan kehidupan manusia di sekitarnya.

Namun, jangan sekadar mencatat apa-apa yang dilihat atau sekadar sepintas lalu. Carilah makna yang tersembunyi di sebalik setiap objek dan peristiwa. Di situlah “alam” dapat digubah dan dikembangkan menjadi sebuah puisi yang dekat dengan jiwa pembaca.

Puisi kedua merupakan karya Ben Galayan yang menyajikan pergolakan emosi dan pencarian cahaya. Puisi “Sekumpulan Tuhan di Atas Jalan” memperlihatkan kecenderungan yang berbeza.

Penyair memilih jalan pengucapan yang lebih abstrak, sarat dengan ungkapan emosi, konflik dalaman, perlambangan dan persoalan spiritual. Puisi ini bergerak daripada suasana kegusaran dan penderitaan kepada pencarian kekuatan serta harapan.

Tajuknya sendiri mengundang perhatian. Frasa “Sekumpulan Tuhan” merupakan satu perlambangan yang provokatif dan membuka ruang tafsiran yang pelbagai. Siapakah sekumpulan tuhan yang dimaksudkan?

Adakah mereka manusia yang hadir sebagai penyelamat, insan yang memberikan kekuatan atau lambang kehadiran kasih dan pertolongan dalam perjalanan hidup? Ketidaklangsungan makna ini memberikan ruang kepada pembaca untuk berfikir.

Antara baris yang menarik ialah “darah tidak kelihatan merah / cuma pedihnya memenggal kecewa”. Ben Galayan cuba menggambarkan luka yang tidak bersifat fizikal tetapi meninggalkan kesakitan emosi.

Begitu juga dengan ungkapan “berdiri tanpa kaki memapah gugusan emosi” yang memperlihatkan usaha membina imej tentang manusia yang kehilangan kekuatan tetapi masih berusaha bertahan.

Bahagian akhir puisi memperlihatkan perubahan nada yang ketara. Daripada kegusaran, fitnah dan kekecewaan, penyair beralih kepada imej dakapan, embun, kepercayaan dan harapan.

Baris “merenjis embun-embun luka” mempunyai elemen puitis kerana menggabungkan kelembutan embun dengan pengalaman kesakitan. Imej ini memperlihatkan bahawa penyembuhan tidak semestinya datang melalui sesuatu yang besar sebaliknya boleh hadir melalui sentuhan kecil yang memberikan kekuatan.

Suara kepengarangan dalam puisi ini memperlihatkan kecenderungan Ben Galayan mengungkapkan pergolakan emosi dan konflik dalaman manusia melalui citra gelap, luka dan penderitaan.

Ben membina suasana kemurungan dengan menggunakan diksi yang sarat dengan tekanan perasaan seperti hempasan rasa, sengsara jiwa, kegusaran, sunyi terkunci dan pedihnya memenggal kecewa.

Kekuatan puisi ini terletak pada usaha mengkonkritkan penderitaan batin melalui imej fizikal. Misalnya dipanah busur fitnah dan darah tidak kelihatan merah. Ungkapan ini memberikan gambaran bahawa luka emosi kadangkala lebih menyakitkan daripada luka jasmani.

Keunikan suara kepengarangan Ben terserlah dalam rangkap ketiga apabila suasana penderitaan mula beralih kepada pencarian kekuatan, kepercayaan dan harapan.

Ungkapan “sekumpulan Tuhan di atas jalan” merupakan metafora yang menarik kerana boleh ditafsirkan sebagai kehadiran insan-insan yang menjadi sumber pertolongan, kasih sayang dan kekuatan ketika seseorang berhadapan dengan kesukaran.

Peralihan daripada citra kegelapan kepada dakapan hangat, menebar harapan dan merenjis embun-embun luka memperlihatkan perkembangan emosi yang positif. Inilah potensi kepengarangan yang wajar terus diteroka oleh Ben Galayan, iaitu keupayaan menghubungkan pengalaman peribadi dengan pengalaman kemanusiaan yang lebih universal.

Untuk memperkukuh puisi ini, Ben disarankan memberikan ruang kepada imej yang lebih segar, mengurangkan pengulangan kata abstrak dan membina kesinambungan metafora yang lebih terarah.

Suara kepengarangan yang kuat bukan sekadar lahir daripada keindahan kata-kata tetapi daripada keupayaan penyair menemukan cara tersendiri untuk membuat pembaca merasai, memikirkan dan akhirnya memahami makna sebuah kehidupan.

Benih suara kepengarangan Ben Galayan terletak pada keberanian meneroka dunia psikologi dan spiritual manusia. Penyair mempunyai kecenderungan menggunakan bahasa yang intensif dan ungkapan yang sarat dengan emosi.

Kecenderungan ini boleh menjadi identiti tersendiri sekiranya disertai dengan kawalan diksi dan ketelitian dalam membina metafora. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa rangkai kata yang agak padat dengan metafora dan unsur abstrak sehingga maksudnya sukar ditangkap secara spontan.

Penggunaan frasa seperti “tiada suluh cahaya bintang malap bergema” juga boleh diperhalus agar hubungan antara imej, makna dan emosi menjadi lebih jelas serta berkesan.

Tidak keterlaluan jika kita katakan, puisi ini memberikan satu ruang pembelajaran yang penting, iaitu perbezaan antara bahasa yang puitis dengan bahasa yang sekadar kelihatan puitis.

Ungkapan seperti “terang gelap cahaya”, “kepulan sengsara jiwa”, “kegusaran kian menjadi santapan” dan “cahaya bintang malap bergema” memperlihatkan usaha membina suasana dramatik.

Namun, apabila terlalu banyak ungkapan abstrak dihimpunkan, pembaca mungkin kehilangan gambaran yang jelas tentang pengalaman sebenar yang sedang diungkapkan.

Ben Galayan boleh belajar daripada prinsip ekonomi bahasa. Tidak semua baris perlu dipenuhi metafora. Ada kalanya, satu imej yang tepat lebih berkesan daripada lima ungkapan yang bersaing untuk menarik perhatian.

Cuba pilih beberapa simbol utama dan bangunkan hubungan antara simbol tersebut. Misalnya, jalan, cahaya dan embun boleh dijadikan rangka perlambangan yang konsisten untuk membawa pembaca daripada kegelapan kepada harapan.

Sebagai cadangan, Ben juga boleh mempertimbangkan untuk memasukkan satu atau dua gambaran konkrit yang memperlihatkan pengalaman sebenar di sebalik pergolakan emosi. Dengan cara ini, pembaca bukan sekadar diberitahu bahawa pengucap sedang menderita tetapi turut dapat merasakan dan membayangkan penderitaan tersebut.

Satu lagi perkara yang perlu dilihat semula ialah tajuk puisi. “Sekumpulan Tuhan di Atas Jalan” mempunyai daya tarikan yang kuat. Namun, Ben Galayan perlu memastikan hubungan antara tajuk dengan keseluruhan isi puisi dapat dibina dengan lebih meyakinkan.

Apabila tajuk membawa perlambangan yang besar, tubuh puisi perlu menyediakan petunjuk yang mencukupi agar pembaca dapat menemukan makna di sebaliknya.

Usah takut untuk menulis tentang emosi dan persoalan spiritual. Namun, belajarlah memberikan “tubuh” kepada emosi melalui imej, peristiwa dan pengalaman yang dapat disentuh oleh imaginasi pembaca. Teruskan pengkaryaan, Ben!

Kita beralih kepada puisi ketiga yang ditukangi oleh Abu Adil, “Sudahkah Dinding Rumah Kita Terhibur?” memperlihatkan satu pendekatan yang menarik, iaitu penggunaan objek yang sangat dekat dengan kehidupan manusia sebagai pusat pengucapan.

Dinding rumah bukan sekadar unsur binaan, sebaliknya diberikan peranan sebagai saksi, penyimpan memori dan seolah-olah menjadi anggota keluarga yang turut mengalami perjalanan kehidupan penghuninya.

Personifikasi dinding rumah melalui ungkapan “Dinding rumah mencerna memori / sebuah keluarga di dalam perutnya” memperlihatkan keberanian Abu Adil memberikan sifat manusia kepada benda.

Dinding yang mempunyai “perut” seolah-olah menelan, menyimpan dan memproses segala kenangan yang berlaku di dalam rumah tersebut. Idea ini mempunyai potensi yang besar kerana Abu Adil telah menemukan satu objek yang boleh menjadi metafora utama untuk membicarakan kehidupan keluarga.

Abu Adil kemudian membina gambaran tentang perjalanan masa melalui kehidupan ibu, bapa dan anak. Ungkapan “cekalnya ibu menjaga anaknya / penatnya bapa mencari rezeki / cepatnya bayi menjadi dewasa” membawa pembaca menelusuri perubahan sebuah keluarga.

Pengulangan akhiran yang sama pada beberapa baris menghasilkan rentak pengucapan yang mudah diikuti, di samping memberikan penegasan terhadap peranan anggota keluarga.

Bahagian “semuanya dimakan usia / hingga usia pun kenyang” merupakan antara ungkapan yang wajar diberikan perhatian. Abu Adil menggunakan konsep usia sebagai sesuatu yang memakan kemudian memberikan sifat kenyang kepadanya.

Personifikasi ini menarik kerana usia yang pada asalnya abstrak diberikan sifat makhluk yang mempunyai selera dan keperluan. Di sinilah Abu Adil memperlihatkan potensi bermain dengan bahasa dan pemikiran.

Puisi bergerak ke arah suasana kehilangan apabila kematian mengetuk pintu dan kesunyian hadir sebagai hadiah. Penutup melalui imej “lalu tumbuh lumut kerinduan” juga mempunyai kekuatan visual dan emosi.

Lumut lazimnya tumbuh pada permukaan yang lama terbiar, lembap dan kurang disentuh. Apabila dikaitkan dengan kerinduan, imej ini memberikan gambaran bahawa kehilangan yang tidak terubat akan terus tumbuh dan memenuhi ruang kehidupan.

Suara kepengarangan Abu Adil berpotensi berkembang melalui pendekatan personifikasi dan pengamatan terhadap objek domestik sebagai simbol kehidupan manusia.

Abu Adil mempunyai keupayaan melihat rumah bukan sekadar tempat berlindung, tetapi sebagai ruang yang menyimpan sejarah, kasih sayang dan kehilangan.

Sebagai usaha memantapkan lagi puisi ini, Abu Adil boleh memberikan perhatian kepada pengembangan metafora utama. Jika dinding rumah ialah watak yang menyaksikan kehidupan keluarga, apakah yang dilihatnya?

Apakah bunyi yang didengarnya? Adakah terdapat kesan tangan anak pada dinding, tanda ketinggian tubuh yang semakin membesar, suara ibu dari dapur atau ruang kosong selepas pemergian seseorang?

Perincian seperti ini boleh menjadikan dinding rumah lebih hidup sebagai saksi perjalanan sebuah keluarga.

Abu Adil juga boleh meneliti ungkapan “berehat pulang menuju tuhan” dan “kematian pun mengetuk pintu” dari sudut kesinambungan imej.

Kedua-duanya membawa makna yang hampir berkaitan tetapi mungkin boleh diperhalus agar peralihan daripada perjalanan usia kepada kematian terasa lebih organik.

Selain itu, tajuk berbentuk pertanyaan “Sudahkah Dinding Rumah Kita Terhibur?” mempunyai unsur keunikan dan sedikit paradoks. Dinding yang menjadi saksi kesedihan dan kehilangan ditanya sama ada sudah terhibur.

Persoalan ini boleh diperkukuh dalam penutup puisi. Adakah dinding itu benar-benar terhibur, atau masih menyimpan kesunyian penghuni yang telah pergi? Jika persoalan ini diberikan jawapan yang lebih tersirat, kesan akhir puisi mungkin menjadi lebih mendalam.

Teruskan meneroka objek-objek yang dekat dengan kehidupan. Pintu, jendela, kerusi kosong, meja makan, jam dinding dan halaman rumah semuanya mempunyai potensi menjadi lambang pengalaman manusia.

Namun, perlu diingat bahawa objek tidak menjadi puisi hanya kerana diberikan sifat manusia. Objek itu perlu membawa makna yang lebih besar daripada kewujudannya sendiri.

Ketiga-tiga puisi ini memberikan satu pengajaran penting tentang pembentukan identiti penyair. Suara kepengarangan tidak muncul hanya melalui penggunaan perkataan yang indah, metafora yang rumit atau tajuk yang luar biasa.

Suara kepengarangan terbentuk apabila penyair mempunyai cara tersendiri dalam melihat sesuatu, memilih pengalaman yang ingin diungkapkan dan mengolah pengalaman tersebut menjadi makna yang dapat dikongsi dengan pembaca.

Ibnu Hasan memperlihatkan potensi membina kepengarangan melalui alam dan pengalaman geografi setempat. Ben Galayan memperlihatkan kecenderungan meneroka pergolakan emosi dan persoalan spiritual.

Abu Adil pula memperlihatkan potensi menjadikan objek domestik sebagai saksi kehidupan dan penyimpan kenangan. Ketiga-tiganya boleh belajar daripada satu prinsip yang sama: jangan terlalu sibuk mencari perkataan yang indah sehingga terlupa mencari pengalaman dan pemikiran yang benar-benar bermakna.

Seorang penyair perlu banyak memerhati, membaca, mengalami dan merenung. Selepas itu, pilihlah kata yang paling tepat untuk mengungkapkan pengalaman tersebut.

Jangan takut memotong baris yang berlebihan, menggantikan metafora yang kurang berkesan atau menyusun semula rangkap yang belum mempunyai kesinambungan. Penyuntingan bukan bermaksud menghilangkan keaslian tetapi menemukan bentuk terbaik bagi gagasan yang ingin disampaikan.

Kepada Ibnu Hasan, teruskan menulis tentang tanah, air, musim dan manusia yang hidup bersamanya. Alam sekitar anda mempunyai cerita yang tidak semestinya ditemukan di tempat lain.

Angkatlah pengalaman setempat menjadi pengalaman sejagat melalui pengamatan yang tajam dan perlambangan yang mendalam.

Buat Ben Galayan, teruskan meneroka ruang emosi, kepercayaan dan pergulatan manusia. Keberanian anda bermain dengan bahasa dan perlambangan merupakan modal kepengarangan yang boleh dikembangkan.

Belajarlah mengawal intensiti bahasa agar setiap metafora mempunyai tujuan dan setiap baris meninggalkan kesan.

Kita berharap Abu Adil akan terus melihat kehidupan melalui benda-benda yang sering dianggap biasa.

Rumah, dinding dan segala yang tersimpan di dalamnya mempunyai sejarah manusia yang panjang. Asahlah keupayaan personifikasi dan bina metafora yang konsisten agar objek yang dipilih benar-benar hidup dalam imaginasi pembaca.

Hakikatnya, menjadi penyair bukan sekadar kebolehan menyusun kata menjadi baris-baris yang indah. Penyair ialah manusia yang belajar melihat lebih jauh daripada apa-apa yang terlihat, mendengar lebih dalam daripada apa-apa yang terucap dan merasakan sesuatu yang mungkin tidak disedari oleh orang lain.

Tidak perlu terburu-buru mahu menghasilkan puisi yang dianggap hebat. Berikan masa kepada pengalaman untuk menjadi pemikiran, bina pemikiran untuk menemukan bahasa dan biarkan bahasa mencapai bentuk yang paling berkesan.

Hal ini kerana puisi yang baik bukan sekadar membuat pembaca mengagumi keindahan kata-kata tetapi mengajak mereka melihat dunia dengan cara yang berbeza selepas membacanya. Di situlah suara kepengarangan mula menemukan “tapak”nya.

Kepada semua penyair, usah menjadi penyair yang hanya pandai bermain kata. Jadilah penyair yang mempunyai sesuatu untuk diperkatakan. Keindahan bahasa perlu menyokong pemikiran.

Selain itu, belajarlah mencipta imej, bukan sekadar menyatakan perasaan. Pembaca lebih mudah tersentuh apabila mereka dapat melihat, mendengar dan merasakan pengalaman yang digambarkan.

Seterusnya, bina identiti, bukan meniru gaya. Penyair perlu menemukan dunia yang dekat dengan dirinya sendiri. Pengalaman hidup, tempat asal, masyarakat, alam dan peristiwa seharian boleh menjadi sumber kepengarangan yang sangat kaya. Sesungguhnya!

Oleh Dayang Azizah Mohd. Salleh

Kedai yang Menjual Impian

SELURUH raga Mika bergetar apabila dia sedar memorinya lenyap dengan perlahan-lahan. Helaian demi helaian ingatannya menjadi kabur. Dua bulan sebelum

Puisi

Musim Di tengah petak sawah kuraup bongkah El Nino yang merekah garis tanganku dipenuhi debu. Dari laut awan tengkujuh mula

Kata Ditulis, Jiwa Dieja

GUMPALAN kata yang ditulis dalam sesebuah sajak merupakan bingkisan suara hati insan yang lirih. Seolah-olah ada resah yang mahu keluar