
KOTA SAMARAHAN: Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Samarahan hari ini atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap adik kandungnya sendiri.
Menurut kenyataan media daripada Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, insiden berkenaan didakwa berlaku dalam dua kejadian berasingan pada bulan Oktober dan November tahun lepas.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dipercayai melakukan perbuatan pertama di tepi jalan menuju ke sebuah rumah di Kampung Empila Hulu, Kota Samarahan.
Perbuatan kedua pula dilakukan di sebuah kediaman di kampung yang sama, yang merupakan rumah keluarga tertuduh dan mangsa.
Kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Shafiza Datu Abdul Razak Tready.
Bagaimanpun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan selesai dibacakan.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, kes dikendalikan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, peruntukan undang-undang membawa kepada hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun, serta boleh dikenakan hukuman sebatan.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan memerintahkan dia menjalani tahanan reman di Penjara Puncak Borneo.
Kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes praperbicaraan pada 17 Julai depan.
Oleh Adi Safarman