Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Lebih 43,000 pekebun kecil Dayak pacu sektor sawit negeri
  • Tengah
  • WILAYAH

Lebih 43,000 pekebun kecil Dayak pacu sektor sawit negeri

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO’ Sri Huang Tiong Sii bergambar bersama warga DOPPA di Dewan Suarah Sarikei, baru-baru ini. Foto Pusat Khidmat Repok

SARIKEI: Sarawak terus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri yang mempunyai jumlah pekebun kecil kelapa sawit tertinggi di Malaysia dengan seramai 54,984 pekebun kecil melibatkan keluasan tanaman mencecah 285,034 hektar.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, masyarakat Dayak merupakan tunjang utama kepada pembangunan industri sawit negeri apabila seramai 43,916 pekebun kecil daripada jumlah tersebut terdiri daripada komuniti tersebut.

Katanya, angka tersebut bukan sekadar statistik, malah mencerminkan peranan besar masyarakat Dayak dalam memacu pembangunan sektor sawit di Sarawak.

“Statistik menceritakan kebenaran. Di Sarawak, jumlah pekebun kecil adalah yang paling tinggi di Malaysia iaitu seramai 54,984 individu dengan keluasan mencecah 285,034 hektar.

“Namun, lebih daripada sekadar angka, realitinya masyarakat Dayak adalah tunjang kepada statistik ini.

“Dengan jumlah 43,916 penduduk, masyarakat Dayak merupakan kelompok terbesar pekebun kecil di Sarawak. Maka, saya boleh dengan yakin menyebut bahawa tanaman sawit dan masyarakat Dayak adalah berpisah tiada,” katanya.

Tiong Sii yang juga yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Aram Besawit (Jom Sawit) 2026 anjuran Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) di Dewan Suarah Sarikei, baru-baru ini.

Katanya, kelapa sawit bukan sekadar tanaman komoditi, malah menjadi sumber pendapatan utama yang membantu meningkatkan taraf hidup keluarga serta menjamin masa depan generasi akan datang.

“Kelapa sawit bukan sekadar pokok, ia adalah talian hayat, ia adalah sumber pendapatan yang menjamin pendidikan anak-anak kita dan masa depan generasi akan datang.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Presiden DOPPA, Dr Napoleon Royal Ningkos dan seluruh keluarga besar DOPPA dalam menganjurkan Program Aram Besawit sebanyak 16 kali sejak 2017 yang pastinya bukanlah satu tugas yang mudah.

“Ia adalah bukti kecekalan dan komitmen yang tidak pernah luntur dalam memperkasa komuniti pekebun kecil kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program berteraskan ilmu seperti ini amat penting bagi membantu pekebun kecil memahami cabaran semasa industri sawit termasuk aspek kemampanan, pematuhan piawaian antarabangsa dan perubahan dasar global.

Katanya, seramai 300 peserta telah menyertai program tersebut yang merangkumi pelbagai topik termasuk teknik pembajaan, kawalan rumpai, keselamatan persekitaran, pelesenan, penggredan buah tandan segar serta isu berkaitan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

“Dunia hari ini tidak lagi melihat sawit hanya dari kualiti minyaknya. Dunia kini bertanya, adakah hutan ditebang, adakah hak buruh dijaga dan adakah rantaian bekalan ini boleh dijejak.

“Oleh sebab itu, program ilmu seperti ini adalah perisai kita. Kita tidak mahu pekebun kecil kita ketinggalan. Kita mahu anda menjadi pekebun kecil bertaraf profesional yang mampu berdiri sama tinggi dengan peladang korporat di persada antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sentiasa komited membantu pekebun kecil melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang kini menjadi antara syarat penting untuk menembusi pasaran premium dunia.

“Ini bukan beban, tetapi salah satu kunci untuk produk sawit menembusi pasaran premium dunia.

“Saya menggesa kepada semua ahli DOPPA supaya mengambil peluang emas menerusi inisiatif Sustainable Palm Oil Cluster (SPOC) yang disediakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi mendapatkan pensijilan MSPO secara percuma,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang terus memberi penekanan terhadap pembangunan sektor hiliran sawit termasuk inisiatif penjanaan tenaga daripada sisa sawit.

“Usaha tersebut bukan sahaja menyokong agenda kelestarian alam sekitar, malah berpotensi meningkatkan nilai tambah kepada industri sawit dan memberi manfaat langsung kepada pekebun kecil.

“Transformasi sisa sawit kepada tenaga hijau bukan sahaja menyelamatkan alam sekitar, malah memberi nilai tambah terus ke poket para pekebun kecil melalui kestabilan ekonomi industri,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek

Continue Reading

Previous: Pengalaman Pedalaman Sarawak: Edisi Ulu Entabai 2026 sasar lebih 1,000 pengunjung
Next: 48 pain darah berjaya dikumpul sempena Hari Penderma Darah Sedunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.