
SIBU: Orang ramai dari dalam dan luar Sarawak dialu-alukan menyertai program Pengalaman Pedalaman Sarawak: Edisi Ulu Entabai 2026 yang akan berlangsung pada 24 hingga 25 Oktober ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, program yang dijangka menarik lebih 1,000 peserta dan pengunjung itu akan diadakan di Rumah Sang, Rantau Chirey, Ulu Entabai.
“Program ini merupakan anjuran Kelab Peneresa Rampa Menua 4X4 dengan kerjasama Koperasi Bintang Tujuh Sarawak Berhad.
“Melalui program ini, lebih ramai orang dapat mengenali Ulu Entabai yang mempunyai keunikan tersendiri dari segi budaya, adat resam dan keindahan alam semula jadi,” katanya semasa melancarkan program tersebut di Sibu Heritage Centre di sini, semalam.
Beliau berkata, penganjuran program itu juga dapat membantu mempromosikan kawasan pedalaman serta membuka peluang ekonomi kepada penduduk rumah panjang melalui sektor pelancongan.
Rolland turut berharap pihak penganjur dapat mempergiatkan promosi bagi menarik lebih ramai peserta, terutama dari kawasan bandar.
Mengenai pengangkutan, beliau berkata peserta yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda boleh memandu sendiri ke lokasi program, manakala mereka yang memerlukan pengangkutan boleh berbincang dengan pihak penganjur.
“Harapan saya program ini menjadi platform untuk memperkenalkan khazanah dan keunikan pedalaman Sarawak kepada lebih ramai orang,” katanya.
Oleh Tarani Lanting