Lamine Yamal melakukan sesi pemanasan badan ketika latihan Sepanyol sehari sebelum perlawanan pembukaan FIFA Piala Dunia 2026 menentang Cape Verde di Stadium Atlanta, Georgia, semalam. Foto AFP.
ATLANTA: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente mengesahkan bahawa Lamine Yamal berada dalam keadaan cergas, namun akan memulakan aksi pembukaan Piala Dunia juara Eropah itu menentang Cape Verde dari bangku simpanan.
Bintang FC Barcelona itu tidak beraksi sejak mengalami kecederaan hamstring pada 22 April lalu.
Terdahulu, timbul kebimbangan bahawa pemain berusia 18 tahun itu mungkin terlepas dua perlawanan awal Sepanyol di Piala Dunia, namun beliau telah menjalani latihan sepanjang minggu dan dijangka diturunkan dalam perlawanan di Atlanta esok.
“Dia tersedia tetapi bukan untuk memulakan permainan. Dia berada dalam keadaan sempurna untuk beraksi beberapa minit,” kata De la Fuente dalam sidang media pada Ahad.
Dua pemain sayap, Nico Williams dan Victor Munoz, juga hanya cukup cergas untuk berada di bangku simpanan, sekali gus mengehadkan pilihan De la Fuente di bahagian sayap.
“Mereka berada dalam keadaan baik untuk bermain esok tanpa menjejaskan proses pemulihan. Jika tidak, mereka tidak akan berada di bangku simpanan,” tambah beliau.
Buat pertama kali, Sepanyol menghadapi Piala Dunia tanpa seorang pun pemain Real Madrid dalam skuad.
Namun keadaan itu mungkin berubah dalam beberapa hari lagi selepas gergasi Sepanyol tersebut dilaporkan mencapai persetujuan bagi mendapatkan khidmat Marc Cucurella dengan nilai perpindahan 55 juta euro (AS$63 juta).
Bagaimanapun, De la Fuente tidak bimbang spekulasi perpindahan pemain akan mengganggu fokus skuadnya sepanjang kejohanan.
“Saya tahu komitmen dan profesionalisme yang mereka miliki. Perkara ini juga berlaku ketika Euro dan kami sudah melaluinya. Ia tidak menimbulkan sebarang situasi yang tidak selesa,” katanya.
“Saya boleh memberi jaminan bahawa tiada siapa dalam pasukan ini akan mengorbankan kepentingan pasukan. Jika ia berita baik untuk Cucu atau sesiapa sahaja sepanjang kejohanan, kami akan meraikannya.”
Walaupun tidak diberi harapan tinggi sebelum kejohanan, La Roja mencipta kejutan apabila muncul juara UEFA Euro 2024 dengan menewaskan Jerman, Perancis dan England di peringkat kalah mati.
Kali ini, mereka dianggap antara calon utama untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua.
De la Fuente tidak cuba merendahkan jangkaan tersebut apabila menyifatkan skuadnya sebagai yang terbaik dalam kejohanan.
“Bagi saya, dengan segala hormat kepada pasukan lain, ini adalah pasukan terbaik di dunia. Pemain terbaik,” katanya.
“Untuk melihat tahap pemain yang kami miliki, anda hanya perlu melihat siapa yang saya tinggalkan daripada skuad.
“Tetapi para pemain memahami peranan masing-masing dan menerimanya. Itulah kelebihan yang dimiliki pasukan ini.”
Selepas menentang pendatang baharu kejohanan, Cape Verde, Sepanyol akan berdepan Arab Saudi dan Uruguay dalam aksi Kumpulan H. — AFP