
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menafikan sekeras-kerasnya kewujudan dokumen tular berkaitan Permit Perjalanan Sementara Untuk Tujuan Pemeriksaan Kenderaan yang memaparkan permintaan bayaran, sambil menegaskan bahawa dokumen berkenaan adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh JPJ Malaysia.
JPJ Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius penyebaran dokumen atau pernyataan palsu yang menggunakan nama, logo serta identiti jabatan bagi tujuan mengelirukan orang ramai.
Menurut kenyataan itu, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak membuat sebarang pembayaran berdasarkan dokumen yang meragukan tanpa mendapatkan pengesahan daripada pihak JPJ terlebih dahulu.
JPJ Sarawak turut menegaskan bahawa tiada sebarang permintaan bayaran dikenakan bagi tujuan pengeluaran permit perjalanan sementara seperti yang dinyatakan dalam dokumen tersebut.
Sehubungan itu, semua urusan rasmi berkaitan JPJ hendaklah dilakukan menerusi saluran yang sah serta di pejabat-pejabat JPJ yang berautoriti.
Orang ramai yang menerima dokumen, mesej atau panggilan mencurigakan menggunakan nama JPJ diminta segera membuat semakan dengan pejabat JPJ berhampiran bagi mengesahkan kesahihan maklumat yang diterima.
Sekiranya terdapat unsur penipuan atau permintaan bayaran yang meragukan, orang ramai disaran membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, JPJ Sarawak menggesa masyarakat agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya serta sentiasa merujuk kepada saluran komunikasi rasmi JPJ Malaysia dan JPJ Sarawak bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Oleh Norman B