
WASHINGTON, Amerika Syarikat: Peminat yang menyaksikan perlawanan pertama Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat pada Jumaat malam mungkin tertanya-tanya mengapa mereka tidak pernah mendengar nama Stadium Los Angeles sebelum ini.
Stadium yang menjadi gelanggang pasukan Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL), Los Angeles Rams dan Los Angeles Chargers itu sebenarnya dikenali sebagai Stadium SoFi.
Bagaimanapun, badan induk bola sepak dunia, FIFA, melaksanakan dasar yang dikenali sebagai “stadium bersih”, iaitu larangan memaparkan jenama syarikat yang bukan penaja rasmi FIFA di stadium Piala Dunia.
Syarikat seperti firma kewangan digital SoFi, syarikat insurans MetLife dan syarikat tenaga NRG, yang masing-masing membayar ratusan juta dolar bagi memperoleh hak penamaan stadium, menyaksikan venue tajaan mereka dinamakan semula sebagai Stadium Los Angeles, Stadium New York New Jersey dan Stadium Houston sepanjang kejohanan sukan paling banyak ditonton di dunia itu berlangsung.

“Mereka tentunya tidak gembira kerana telah membayar jumlah yang besar untuk mendapatkan pendedahan jenama di stadium berkenaan, namun dalam keadaan ini mereka mungkin tidak dapat menghalangnya,” kata Profesor Emeritus Kolej Sukan Falk, Universiti Syracuse, Rick Burton kepada AFP.
Menurut beliau, isu penamaan semula itu lebih ketara kali ini kerana semua perlawanan Piala Dunia 2026 diadakan di stadium sedia ada, berbeza dengan edisi terdahulu seperti di Qatar yang menyaksikan pembinaan stadium khusus untuk kejohanan tersebut.
Satu-satunya venue Piala Dunia 2026 yang tidak terjejas oleh peraturan itu ialah BC Place di Vancouver, Kanada.
“Nama rasmi stadium bagi Piala Dunia FIFA 2026 diselaraskan dengan nama bandar raya tuan rumah dan mungkin berbeza daripada nama yang lazim digunakan di peringkat tempatan,” kata FIFA menerusi laman sesawang rasmi kejohanan.

Bagaimanapun, tidak semua venue dapat mematuhi sepenuhnya peraturan tersebut.
Stadium Mercedes-Benz di Atlanta gagal menemukan kaedah yang sesuai untuk menutup logo gergasi pengeluar kereta mewah itu yang terletak di atas bumbung bangunan.
Logo berkenaan terdiri daripada lapan panel besar yang boleh berputar seperti bukaan lensa kamera.
Media Amerika Syarikat melaporkan bahawa FIFA akhirnya membenarkan logo itu dikekalkan kerana usaha menutupnya berisiko merosakkan struktur bumbung stadium.
“FIFA bekerjasama rapat dengan pihak pengurusan stadium dan bandar raya tuan rumah bagi melaksanakan keperluan perlindungan jenama selaras dengan edisi terdahulu kejohanan ini, sambil mengambil kira keunikan infrastruktur dan keperluan operasi di setiap venue,” kata badan itu kepada The Athletic.
Di Seattle pula, syarikat telekomunikasi Lumen cuba memanfaatkan situasi tersebut dengan menghasilkan video berunsur jenaka di stadium tajaan mereka yang menjadi gelanggang pasukan NFL, Seattle Seahawks dan kelab Major League Soccer (MLS), Seattle Sounders.
“Ketika peminat antarabangsa tiba dari seluruh dunia ke bandar raya dan stadium kami, tugas saya adalah memastikan jenama kami tidak kelihatan di mana-mana,” kata Ketua Strategi dan Pemasaran Lumen, Ryan Asdourian dalam video berkenaan.
Dengan memakai topi keselamatan dan jaket pemantul cahaya, beliau digambarkan mencari setiap paparan jenama Lumen di seluruh stadium, namun akhirnya logo syarikat itu tetap kelihatan dengan jelas, sekurang-kurangnya dalam video tersebut.
Memandangkan Sukan Olimpik turut mengamalkan dasar “stadium bersih”, Stadium SoFi sekali lagi perlu menanggalkan semua penjenamaan penajanya dalam tempoh dua tahun akan datang apabila menjadi antara venue utama, termasuk majlis pembukaan Sukan Olimpik Los Angeles 2028. — AFP