Tiada tekanan, Mia ikut jejak Johan dan Miki raih emas Sukma

Facebook
WhatsApp
MIA Ghazali ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat Sukan Muay Thai di Pusat Beli-Belah KSL Esplanade , di Klang, hari ini.

KLANG: Emylia Lynn Ghazali Zulfikar, atau lebih mesra disapa Mia, membuktikan dirinya mampu meneruskan legasi keluarga dalam arena Muay Thai apabila meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII, hari ini.

Mia yang beraksi dalam kategori 45 kilogram menewaskan wakil Johor, Damia Husna Binti Azian, dalam pertarungan sengit yang berakhir dengan kemenangan tipis 34-33.

Pada papan skor ketika pertarungan memasuki saat-saat akhir, Mia mendahului 34-32 sebelum Johor meraih satu lagi mata untuk menjadikan keputusan akhir 34-33.

Kemenangan itu melengkapkan kejayaan keluarga Ghazali selepas dua abangnya, Johan Ghazali dan Miki Ghazali Zulfikar, turut mencipta nama dengan meraih pingat emas dalam arena berkenaan.

Bagaimanapun, Mia menegaskan pencapaian kedua-dua abangnya tidak pernah menjadi tekanan kepadanya menjelang pertarungan penentuan itu.

EMYLIA Lynn Ghazali Zulfikar beraksi menentang wakil Johor, Damia Husna Azian, dalam pertarungan akhir acara Muay Thai kategori 45 kilogram pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII di Pusat Beli-Belah KSL Esplanade, Klang, hari ini.

“Tiada tekanan. Tiada tekanan langsung,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat acara Muay Thai di Pusat Beli-Belah KSL Esplanade, Klang, hari ini.

Mia berkata, kejayaan tersebut adalah hasil persiapan selama kira-kira dua bulan dengan memberi tumpuan khusus kepada aspek teknik, selain mendapat sokongan daripada barisan jurulatih serta dua abangnya.

“Saya sudah berlatih selama kira-kira dua bulan untuk teknik dan banyak memberi fokus kepada latihan. Semuanya akhirnya membuahkan hasil.

“Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan keputusan ini,” katanya.

Berdepan lawan yang lima tahun lebih berusia daripadanya, Mia berkata dia hanya berpegang kepada persiapan yang dilakukan serta kepercayaan terhadap jurulatih dan Allah.

RAIH EMAS…Emylia Lynn Ghazali Zulfikar meraikan kejayaan selepas memenangi pingat emas acara Muay Thai kategori 45 kilogram pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII di Pusat Beli-Belah KSL Esplanade, Klang, hari ini.

“Percaya kepada latihan saya, percaya kepada jurulatih saya dan percaya kepada Allah,” katanya.

Mia turut mengakui Johan dan Miki memainkan peranan besar dalam membantunya membuat persiapan menghadapi Sukma.

“Mereka memainkan peranan yang sangat besar untuk saya dan mereka membuat persiapan saya dengan sangat baik,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran selepas kejayaan di Sukma, Mia berkata dia berhasrat mengikut jejak langkah abang-abangnya untuk beraksi di luar negara, khususnya di Thailand.

“Saya pasti mahu bertanding seperti abang-abang saya di luar, di Thailand, RWS,” katanya, merujuk kepada hasratnya untuk beraksi di pentas Rajadamnern World Series (RWS).

JUARA BERSAMA…Emylia Lynn Ghazali Zulfikar bergambar bersama pemenang lain selepas majlis penyampaian pingat acara Muay Thai pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII di Pusat Beli-Belah KSL Esplanade, Klang, hari ini.

Dalam pada itu, Mia berkata sorakan penonton yang bergema sepanjang pertarungan turut membantunya mendapatkan rentak ketika beraksi.

“Ia memang memberi saya rentak. Saya suka bunyi sorakan itu,” katanya.

Mia turut sebak ketika mengucapkan penghargaan kepada barisan jurulatih yang banyak mencurahkan masa dan tenaga dalam persiapannya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih saya. Terima kasih kerana meluangkan masa untuk saya,” katanya dalam nada sebak.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Mia menyertai jejak dua abangnya dalam mengharumkan nama keluarga Ghazali menerusi arena Muay Thai, selain membuka peluang buatnya mengejar impian untuk beraksi di pentas antarabangsa selepas ini.

Oleh Shahrul Qaizat