KUALA LUMPUR: Impian beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk merangkul gelaran juara dunia buat kali kedua tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada Kejohanan Badminton Dunia 2026 di New Delhi, India, hari ini.
Pada aksi final di Stadium Tertutup Indira Gandhi, pasangan pilihan keempat itu bermula perlahan apabila ketinggalan 1-5 sebelum bangkit menyamakan kedudukan 5-5.
Kedua-dua pasangan kemudian saling berkejaran mata sehingga kedudukan terikat 13-13.Namun, Wei Keng-Wang meningkatkan tempo permainan dan melancarkan serangan lebih agresif untuk mendahului sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-17.
Dalam set kedua, Aaron-Wooi Yik, yang kembali digandingkan selepas Terbuka Indonesia pada Jun lalu, sekali lagi memulakan permainan dengan hambar apabila ketinggalan lima mata pada kedudukan 4-9.
Pasangan negara terus bergelut untuk menyaingi ketajaman lawan dan semakin ketinggalan 11-18 sebelum berjaya merapatkan jurang kepada dua mata pada kedudukan 16-18.
Bagaimanapun, Wei Keng-Wang kekal tenang untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-16 dalam set kedua, sekali gus melakar kejuaraan dunia pertama mereka selepas hanya 35 minit.
Kemenangan itu turut menyaksikan Wei Keng-Wang muncul sebagai pasangan beregu lelaki China pertama menjulang gelaran dunia dalam tempoh lapan tahun, selepas Li Junhui-Liu Yuchen kali terakhir melakukannya di Nanjing, China.
Pasangan nombor tiga dunia itu juga meneruskan penguasaan ke atas Aaron-Wooi Yik dengan kini mencatat 12 kemenangan daripada 15 pertemuan antara mereka.
Pada edisi 2022 di Tokyo, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah apabila menjadi wakil pertama Malaysia menjuarai Kejohanan Badminton Dunia selepas menewaskan bekas pasangan Indonesia dan juara tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 21-19, 21-14.
Kekalahan hari ini juga menyaksikan pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu gagal menamatkan kemarau kejuaraan selama 14 bulan selepas kali terakhir muncul juara pada Terbuka Singapura 2025.
Ini merupakan kekalahan ketiga Aaron-Wooi Yik di pentas final tahun ini selepas sebelum ini muncul naib juara pada Terbuka Malaysia pada Januari dan Kejohanan All England pada Mac.
Bercakap selepas perlawanan, Wooi Yik, 28, mengakui Wei Keng-Wang Chang lebih ampuh di bahagian depan gelanggang, namun tetap berpuas hati dengan perjalanan mereka pada kejohanan dunia tahun ini walaupun terpaksa akur dengan kekalahan pada perlawanan akhir.
“Saya masih sangat gembira dengan keputusan ini dan kami telah melakukan yang terbaik untuk mara ke final. Namun, ia tidak berakhir dengan cara yang kami harapkan,” katanya menerusi audio yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kepada media.
Sementara itu, Aaron, 29, senada dengan pandangan gandingannya, sambil mengakui prestasi lawan serta tekanan yang diberikan di gelanggang menyebabkan mereka sukar mencari jalan untuk bangkit dalam perlawanan berkenaan. – Bernama




