

SIMANGGANG: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman berjaya menangkap seekor ular sawa batik yang ditemui berada di dalam sebuah reban ayam di Kampung Tengah, Sri Aman, awal pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung yang memaklumkan mengenai kehadiran reptilia tersebut di kawasan reban ayam miliknya.
Menurut beliau, sejurus menerima aduan itu, sepasukan anggota APM Sri Aman telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.5 meter itu berada di dalam reban ayam tersebut dan berpotensi mengancam keselamatan ternakan serta penduduk sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi menangkap ular berjaya dilaksanakan menggunakan teknik menjerut yang selamat dan terkawal oleh anggota bertugas.
Katanya lagi, reptilia itu berjaya ditangkap tanpa sebarang insiden yang tidak diingini sebelum dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai.
Leftenan Kamal turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap kehadiran haiwan berbisa atau hidupan liar, terutama di kawasan kediaman dan persekitaran kampung.
“Orang awam disaran supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh membahayakan keselamatan, sebaliknya segera menghubungi talian kecemasan atau pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan bantuan,” ujarnya.
APM Sri Aman tambahnya, komited untuk terus memberikan perkhidmatan bantuan kecemasan kepada masyarakat serta memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman