KUCHING: Projek Empangan Hidroelektrik (HEP) Baleh berkapasiti 1,285MW dijangka mula beroperasi pada 2026.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, fasiliti hidroelektrik yang baharu itu akan memperkukuhkan usaha tenaga diperbaharui Sarawak untuk memenuhi permintaan pertumbuhan masa depan dalam organik, industri dan eksport elektrik dari negeri ini.
“Kerajaan Persekutuan baru-baru ini mengiktiraf potensi besar tenaga hidro Sarawak, satu lagi tanda pentingnya tenaga hidro dalam mewujudkan ekonomi hijau dan kemakmuran menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Lembaran Terma antara Syarikat Sesco Berhad dan Malaysia LNG Sdn Bhd yang berlangsung secara maya, di sini semalam.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak telah mula membangunkan teknologi hijau dengan menghasilkan tenaga hidrogen selain tenaga hidro.
“Kombinasi kedua-dua sumber tenaga strategik itu akan membolehkan Sarawak memainkan peranan penting dalam peralihan global di tengah-tengah isu pemasangan global.
“Ini seiring dengan objektif ‘Paris Accord’ sebagai landasan untuk pertumbuhan ekonomi dunia yang dijana oleh tenaga mesra alam,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau percaya semua sektor ekonomi akan dipacu oleh teknologi hijau dan ini termasuk penanaman semula hutan, pertanian dan pembuatan.
Dalam pada itu, Ketua Menteri turut mengucapkan taniah kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) atas kejayaannya menemui kawasan perlombongan gas baharu di luar pesisir Sarawak baru-baru ini.
“Adalah menjadi hasrat Sarawak untuk berkolaborasi dengan Petronas dalam konteks CSA (Perjanjian Penyelesaian Komersial), serta memiliki bekalan gas asli yang mencukupi serta konsisten sebagai stok suapan bagi aktiviti-aktiviti gas hiliran di Sarawak terutamanya dalam usaha menjadikan Bintulu hab gas,” jelasnya.
Beliau berharap Sarawakk Energy dan Petronas akan terus memperkukuhkan kolaborasi untuk memastikan kelestarian dan kemakmuran jangka panjang semua pihak.
Dalam majlis ini, Syarikat Sesco Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) Datu Sharbini Suhaili manakala Malaysia LNG Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan merangkap CEO Kumpulan Syarikat Malaysia LNG dan Petronas LNG Bhd Mohamed Syazwan Abdullah.
Oleh NUR AIN OTSMAN