Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Penyelam Malaysia banggakan negara menerusi misi SAR gua Laos
  • NASIONAL

Penyelam Malaysia banggakan negara menerusi misi SAR gua Laos

Utusan Sarawak 5 hours ago
PAKAR penyelam gua dari Malaysia Lee Kian Lie selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 awal pagi tadi selepas pulang dari operasi menyelamat di Laos yang menjadi misi menyelamat pertama dan paling mencabar dalam hidupnya. Penyelam gua teknikal yang berpangkalan di Sabah itu, merupakan sebahagian daripada pasukan penyelamat antarabangsa berkata kerajaan Laos memutuskan untuk menamatkan operasi itu pada Sabtu memandangkan penyelam berdepan risiko besar dalam usaha menyelamatkan dua pelombong yang masih hilang. Foto BERNAMA

SEPANG: Berbekalkan pengalaman hampir 13 tahun, pakar penyelam gua dari Malaysia Lee Kian Lie tidak pernah menyangka panggilan untuk membantu operasi menyelamat di Laos akan menjadi misi menyelamat pertama dan paling mencabar dalam hidupnya.

Lebih membanggakan, beliau membawa nama Malaysia dalam operasi antarabangsa yang menghimpunkan pasukan penyelamat dari beberapa negara termasuk Laos, Thailand, Indonesia, Perancis, Jepun dan Australia.

Di sebalik kejayaan menyelamatkan lima penduduk tempatan yang terperangkap dalam sebuah gua di separa tenggelam di wilayah Xaysomboun, tengah Laos itu, Lee, 48, berkata beliau berdepan pelbagai cabaran yang menguji ketahanan fizikal dan mental sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkenaan.

Lee yang juga anggota Persatuan Bomba Sukarela Penyelamat Gua Malaysia berkata beliau terpaksa memasuki laluan gua yang sempit, berlumpur serta kekurangan oksigen sewaktu melakukan SAR selain pasukan penyelamat bimbang terhadap sebarang risiko. 

PAKAR penyelam gua dari Malaysia Lee Kian Lie ditemubual Bernama sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 awal pagi tadi selepas pulang dari operasi menyelamat di Laos yang menjadi misi menyelamat pertama dan paling mencabar dalam hidupnya. Foto BERNAMA

“Tempat (gua) sempit, oksigen memang kurang, selain mudah ditenggelami air. Bermaksud sesiapa yang masuk akan (berisiko) terperangkap.

“Anda (pasukan SAR) kena bersedia kemungkinan terperangkap, kami biasa masuk (gua) dengan bawa sedikit makanan dan baju (untuk menyelamat),” katanya ketika berkongsi pengalaman operasi berkenaan kepada Bernama sebaik tiba di tanah air awal pagi tadi. 

Anak kelahiran Tawau, Sabah itu berkata  operasi SAR di gua berkenaan berlangsung 24 jam dengan setiap anggota pasukan penyelamat memang komited untuk mencari mereka yang terperangkap di gua berkenaan.

Lee berkata sebaik tiba di Laos pada 28 Mei lepas, beliau terus dibawa ke lokasi operasi tanpa banyak masa untuk berehat, dengan matlamat utamanya untuk menyelamatkan semua mangsa di gua itu.

“Saya tak (sempat) tidur … sampai sini (dari KLIA), terus naik helikopter masuk ke tapak (lokasi kejadian).

“Kita tidur di bawah (kawasan gua), tidak jauh dari tapak itu. (SAR) tak menentu bila saja peralatan okey,  ahli okey dan bersedia … kita masuk (dalam gua),” katanya sambil menambah beliau berada di Laos selama 10 hari untuk SAR berkenaan.

Beliau berkata detik paling melegakan adalah apabila pasukan penyelamat berjaya menemukan lima mangsa yang dilaporkan hilang di dalam gua berkenaan, namun cabaran sebenar adalah menentukan kaedah paling selamat untuk membawa mereka keluar.

Seorang mangsa terpaksa diselamatkan menerusi kaedah selaman dalam ruang yang sangat sempit, manakala empat lagi berjaya keluar sendiri selepas paras air menurun. 

“Selaman itu amat berbahaya kerana ruang terlalu kecil dan mangsa tidak biasa menyelam.

“(Jarak dari pintu gua) adalah antara 250 hingga  300 untuk chamber (ruang) pertama dan sehingga ke chamber lima di mana kita temukan mangsa,” katanya sambil menambah beliau sedikit terkilan dua lagi mangsa tidak berjaya ditemukan.

Lee yang juga ahli Malaysia Cave Diving Association (MCDA) berkata pengalaman menyertai SAR berkenaan membuktikan kepakaran rakyat Malaysia dalam bidang penyelaman gua teknikal mampu berdiri sebaris dengan pasukan antarabangsa dalam operasi berisiko tinggi.

Sebagai tanda penghargaan, Lee berkata penduduk kampung telah mengadakan upacara khas dengan mengikat gelang benang pada tangan anggota penyelamat sebagai simbolik penghargaan atas usaha mereka menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

PAKAR penyelam gua dari Malaysia Lee Kian Lie ditemubual Bernama sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 awal pagi tadi selepas pulang dari operasi menyelamat di Laos yang menjadi misi menyelamat pertama dan paling mencabar dalam hidupnya. Foto BERNAMA

“Semua penduduk berterima kasih kepada pasukan penyelamat, dan mereka setiap seorang ikat satu benang,” katanya yang masih memakai gelang berkenaan.  

Pada 6 Jun, media melaporkan pasukan penyelamat secara rasmi menamatkan SAR bagi mengesan dua lagi penduduk tempatan yang masih hilang dalam sebuah gua separa tenggelam di wilayah Xaysomboun, tengah Laos.

Insiden itu bermula pada 20 Mei lepas apabila tujuh penduduk kampung terperangkap di dalam gua di daerah Long Chaeng akibat banjir kilat ketika mereka memburu kelawar dan mencari emas di kawasan bekas lombong.

Operasi SAR rentas sempadan sebelum ini berjaya menyelamatkan lima mangsa dalam keadaan selamat, dengan seorang dikeluarkan pada 29 Mei, manakala empat lagi dibawa keluar keesokan hari selepas paras air berjaya diturunkan.- Bernama

Continue Reading

Previous: Jaslinda akan perjelas spekulasi selepas berehat
Next: CERMAT MADANI tawar rebat premium insurans hingga 10 peratus kepada pemandu berhemah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.