
KUALA LUMPUR: Majlis Jawatankuasa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini menegaskan semula kepentingan disiplin, profesionalisme serta akauntabiliti sebagai teras utama dalam memperkukuh hala tuju skuad kebangsaan.
Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ketetapan itu dianggap kritikal bagi memastikan setiap pemain memiliki mentaliti yang tepat demi kelangsungan serta pembangunan sukan badminton negara ke tahap lebih tinggi.
Beliau berkata masalah disiplin yang dikenal pasti setakat ini melibatkan pemain daripada kedua-dua kategori, iaitu skuad senior dan junior.
“Bagaimanapun, jika boleh kita tidak mahu mendedahkan nama mereka tapi kalau dia (pemain terlibat) tidak datang kejohanan mungkin sedang diambil tindakan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata antara langkah tegas yang diputuskan ialah mewajibkan semua pemain kebangsaan menetap di asrama Akademi Badminton Malaysia (ABM) kecuali bagi mereka yang sudah berkahwin.
Beliau berkata pemain yang enggan mematuhi arahan itu tanpa alasan yang munasabah tidak akan dibenarkan menyertai sebarang kejohanan antarabangsa bagi mewakili BAM.
Ditanya reaksi pemain terhadap arahan itu, Tengku Zafrul berkata majoriti pemain menyambut baik ketetapan tersebut manakala segelintir kecil masih menyatakan tidak setuju.
“Hanya dua atau tiga pemain sahaja yang tidak setuju atas sebab tertentu namun selepas diteliti, alasan yang diberikan tidak cukup kuat. Jika tiada isu kukuh seperti masalah perubatan atau perlu menjaga ibu bapa yang sakit, mereka wajib kembali ke asrama,” katanya.
Tengku Zafrul berkata BAM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik terhadap mana-mana pemain dengan menggugurkan mereka daripada skuad kebangsaan sekiranya gagal menunjukkan perubahan sikap atau mengulangi kesalahan sama selepas ini.- Bernama