
KUCHING: Kerajaan negeri masih mempunyai ruang untuk mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas sebelum ia dibentangkan di Parlimen yang dijangka sebelum akhir tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, sesi libat urus bersama kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan akan diteruskan bagi memastikan kandungan RUU tersebut benar-benar memenuhi keperluan golongan warga emas di negara ini.
Menurut beliau, walaupun terdapat pelbagai cadangan untuk dimasukkan ke dalam RUU berkenaan, kerajaan tidak boleh terus menangguhkan pembentangannya hanya kerana mahu menunggu semua perkara diselesaikan sepenuhnya.
“Bagi saya, kalau kita terus menunggu, maka ia tidak akan dapat dibentangkan. Jadi, kementerian berpandangan ini merupakan salah satu RUU yang amat penting dan kita akan berusaha membentangkannya tahun ini juga.
“Sekiranya selepas dibentangkan masih ada perkara yang perlu ditambah baik, kita boleh membuat pindaan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Institut Sosial Malaysia (ISM) Bersama Komuniti di Dewan Masyarakat Kampung Telaga Air, di sini, hari ini.
Nancy berkata proses penyediaan RUU itu telah dimulakan sejak dua tahun lalu dan menerima pelbagai maklum balas daripada NGO, pengendali institusi penjagaan serta warga emas sendiri.
Katanya, kementerian kini berada pada peringkat akhir memperhalusi beberapa perkara penting sebelum RUU tersebut dibawa ke Kabinet dan seterusnya mendapatkan kelulusan Jabatan Peguam Negara untuk dibentangkan di Parlimen.
Menurut beliau, beliau turut menerima arahan daripada Timbalan Perdana Menteri untuk memastikan RUU berkenaan dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh enam bulan.
“Sebenarnya kita sudah bersedia, cuma ada beberapa perkara yang kita rasa penting untuk dimasukkan dalam RUU tersebut sebelum dibawa ke peringkat seterusnya,” katanya.
Nancy berkata proses libat urus tidak tertakluk kepada tempoh tertentu dan akan diteruskan sehingga kementerian berpuas hati dengan maklum balas yang diterima daripada semua pihak.
Beliau menegaskan kerajaan negeri perlu menyuarakan pandangan mereka sekiranya terdapat perkara yang dirasakan masih belum mencukupi dalam RUU tersebut.
“Kalau mereka rasa masih ada kekurangan, kita alu-alukan maklum balas mereka. Yang penting jangan hanya tidak bersetuju tanpa memberikan cadangan atau pandangan yang boleh kita pertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata kementerian juga akan menggunakan platform mesyuarat dalam talian bagi mempercepatkan perbincangan dengan pihak berkepentingan supaya proses penyediaan RUU tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
Menurutnya, kepentingan menjaga kebajikan dan hak warga emas perlu diberi perhatian serius memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah negara menua.
“Kita juga suatu hari nanti akan menjadi warga emas. Sebab itu undang-undang yang dapat melindungi dan menjaga kepentingan mereka amat penting untuk diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata sekiranya semua proses berjalan lancar, kementerian berharap RUU Warga Emas dapat dibentangkan dalam sesi Parlimen antara September hingga Disember tahun ini.
Oleh Shahrul Qaizat