KUCHING, 18 November: Kementerian Kerja Raya mengambil pendirian tegas terhadap isu kelewatan infrastruktur bangunan pendidikan di luar bandar Sarawak dengan mengenakan tindakan denda dan notis penamatan kontrak terhadap kontraktor empat projek sekolah dikategorikan sebagai projek sakit.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata projek berkenaan melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar di Baram, Sekolah Kebangsaan (SK) Sebat di Lundu, SMK Belaga dan SK Abang Leman di Saratok, yang mengalami kelewatan antara 18 hingga 33 peratus.
“Contohnya, macam sekolah di SK Abang Leman yang melibatkan pembinaan bilik darjah, gantian penuh 30 bilik darjah, asrama bagi 600 pelajar dan 12 rumah guru, kita telah menghantar notis untuk tujuan penamatan kepada kontraktor pada 10 November lepas.
“Untuk SMK Belaga, SK Sebat dan SMK Tinjar, kontraktor telah dikenakan LAD (Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan), iaitu denda… itulah tindakan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan dan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 4 Tahun 2026 di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan projek di seluruh negara, Ahmad berkata daripada keseluruhan 880 projek bernilai RM51.75 bilion yang dalam fasa pembinaan di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya, sebanyak 272 projek mendahului jadual manakala 311 lagi mengikut jadual.
Beliau berkata hasil pemantauan berterusan dan langkah intervensi yang dilaksanakan menunjukkan perkembangan positif apabila bilangan projek sakit di peringkat nasional berjaya diturunkan kepada 26 projek atau 2.97 peratus berbanding 38 projek sebelum ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata sebanyak 18 projek pembangunan di Sarawak telah disenaraikan di bawah Rancangan Boleh Pinda Kedua bagi Rancangan Malaysia Ke-13, dengan anggaran kos keseluruhan RM1.14 bilion.
“Daripada 18 projek tersebut, sebanyak 14 projek melibatkan Kementerian Pendidikan manakala dua projek di bawah Kementerian Kesihatan, satu projek di bawah Kementerian Pertahanan dan satu lagi di bawah Kementerian Dalam Negeri,” katanya. – Bernama




