SIBU, 19 November: Lebih 300 unit rumah bakal dibangunkan menerusi projek perumahan Kemuyang 2 bagi memperluas peluang pemilikan rumah kepada penduduk yang memerlukan, khususnya pasangan muda dan keluarga baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, kerajaan telah meluluskan projek pembangunan perumahan berkenaan selepas proses pengambilan tanah dan pembayaran pampasan selesai dilaksanakan.
Menurutnya, projek itu akan melengkapkan pembangunan penempatan sedia ada di Kemuyang yang mempunyai hampir 800 lot kediaman.
“Penyediaan perumahan kekal menjadi antara keutamaan saya dalam agenda pembangunan kawasan Nangka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun Ke-15 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Nangka dan Majlis Kesyukuran di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), di sini, malam tadi.
Dr Annuar berkata, beliau turut memohon kelulusan kerajaan bagi menyediakan lebih banyak lot perumahan untuk membantu pasangan muda yang sudah berkahwin tetapi masih tinggal bersama ibu bapa atau mentua kerana belum memiliki rumah sendiri.
“Pengagihan lot perumahan perlu mengutamakan golongan yang benar-benar memerlukan supaya kemudahan disediakan kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, tindakan telah diambil untuk mengambil semula lot perumahan yang masih kosong dan tidak dibangunkan meskipun telah diperuntukkan kepada penerima sebelum ini.
“Lot berkenaan perlu diberikan kepada pemohon lain yang benar-benar memerlukan rumah dan sedang menunggu peluang untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya lagi.
Dr Annuar berkata, usaha turut dilaksanakan bagi menyediakan penempatan lebih selamat kepada keluarga yang tinggal di kawasan tebing sungai berisiko, selain penduduk terjejas akibat pembangunan semula Kampung Datu dan Kampung Hilir.
Mengimbas tempoh 15 tahun sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Dr Annuar berkata, kawasan berkenaan telah mengalami perubahan ketara khususnya dari segi pembangunan infrastruktur kampung dan kemudahan perumahan.
“Ketika mula menjadi wakil rakyat, beberapa kawasan di Kampung Bahagia Jaya masih mempunyai jalan tanah serta tidak dilengkapi kemudahan lampu jalan.
“Bagaimanapun, pendekatan pembangunan kampung kini berubah dengan penekanan terhadap penyediaan infrastruktur lebih menyeluruh termasuk jalan raya yang baik dan kemudahan asas lain,” katanya.
Dr Annuar berkata, visi jangka panjang beliau adalah untuk melihat Sarawak menjadi sebuah negeri yang mampu berdikari melalui pendidikan, kepimpinan berwibawa dan kekuatan rakyatnya sendiri.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya membuat keputusan berdasarkan kepentingan jangka panjang negeri, khususnya demi menjamin masa depan generasi muda.
“Perkara paling penting ialah bagaimana kita dapat menjamin masa depan anak-anak serta memastikan Sarawak mampu membangun dengan kekuatan sendiri,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, pengerusi pengelola majlis, Mohamad Safree Mohamad Kassim serta yang lain.
Oleh Akun Giman




