
KUCHING: Institut Kolej Antarabangsa Teknologi Sarawak (ICATS) kini diiktiraf sebagai universiti penuh selepas memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, keputusan tersebut merupakan satu perkembangan penting kepada sektor pendidikan tinggi negeri.
“Sarawak kini mempunyai dua universiti milik Sarawak, iaitu Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu dan ICATS di Kuching.
“Pengiktirafan itu akan memperkukuh lagi agenda pembangunan modal insan berasaskan teknologi yang menjadi keutamaan kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCAT) 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), hari ini.
Mengulas lanjut, Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk menaik taraf ICATS yang telah memenuhi syarat sebagai universiti penuh.
“Ini memberi suntikan besar kepada Sarawak kerana kita kini mempunyai dua universiti milik negeri yang memberi tumpuan kepada bidang teknologi.
“ICATS kini turut memperluaskan jaringan akademiknya melalui kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi terkemuka termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknikal Istanbul,” jelansya.
Dalam pada itu, beliau berkata sebuah fakulti baharu juga telah disiapkan di universiti berkenaan bagi menyokong pertambahan program akademik dan keperluan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Mengulas mengenai pembangunan kampus baharu ICATS di Trombol, beliau berkata projek itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan kos keseluruhan dianggarkan mencecah RM400 juta.
“Memang kita membangunkan kampus baharu dan ia akan menelan kos sekitar RM400 juta, namun pelaksanaannya dibuat secara berperingkat termasuk pembinaan kemudahan asrama,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah