
BERLIN, Jerman: Penyerang remaja Jerman, Lennart Karl, disahkan terlepas saingan Piala Dunia selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan, menurut kenyataan German Football Association semalam.
“Lenny mengalami kekoyakan pada otot semasa sesi latihan terakhir hari ini dan tidak dapat beraksi akibat kecederaan tersebut. Semoga cepat sembuh, kami sentiasa memikirkan anda,” kata DFB menerusi Instagram.
Jerman memanggil pemain tengah RB Leipzig, Assan Ouedraogo, sebagai pengganti kepada pemain Bayern Munich berusia 18 tahun itu.
Ketua jurulatih, Julian Nagelsmann, sebelum ini berkata di Chicago menjelang perlawanan persahabatan menentang United States hari ini bahawa kecederaan Karl “nampak serius” dan pemain itu telah dibawa ke hospital untuk menjalani imbasan.
Kehilangan Karl merupakan tamparan besar buat Jerman. Beliau menjadi antara penemuan terbesar dalam musim Bundesliga selepas membuat penampilan sulung di liga utama musim ini dan pantas mengukuhkan kedudukannya dalam skuad juara liga kendalian Vincent Kompany.
Karl membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama Jerman ketika kemenangan 4-0 ke atas Finland pada Ahad lalu dan turut mencipta satu bantuan gol.
Nagelsmann turut mengesahkan penjaga gol veteran, Manuel Neuer, tidak akan cergas sepenuhnya untuk menentang Amerika Syarikat, namun berharap beliau dapat kembali beraksi dalam perlawanan pertama Piala Dunia Jerman menentang Curaçao pada 14 Jun.
Neuer, 40, yang membantu Jerman menjuarai Piala Dunia 2014, dipanggil semula secara mengejut ke skuad kejohanan itu pada Mei, hampir dua tahun selepas mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa.
“Pada usianya, dia tidak memerlukan tempoh pemanasan yang panjang,” kata Nagelsmann.
“Dia tahu bagaimana untuk mengendalikan situasi bertekanan tinggi.
“Dia sedang menuju tahap kecergasan terbaik. Namun, kami tidak mahu mengambil sebarang risiko untuk perlawanan esok.” – AFP