Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Kanada sekadar seri 1-1 dengan Ireland menjelang Piala Dunia
  • SUKAN

Kanada sekadar seri 1-1 dengan Ireland menjelang Piala Dunia

Utusan Sarawak 6 hours ago
JAKE O’Brien (#5) dari Republik Ireland mengalihkan bola ke arah gawang sendiri pada separuh masa pertama ketika menentang Kanada dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Saputo pada 5 Jun 2026 di Montreal, Quebec, Kanada. Foto AFP

MONTREAL, Kanada: Kanada selaku tuan rumah bersama Piala Dunia sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Ireland pada Jumaat, meskipun menguasai sepenuhnya perlawanan persahabatan terakhir mereka sebelum kejohanan bermula minggu hadapan.

Kanada masih belum pernah memenangi perlawanan Piala Dunia, namun telah melonjak dalam ranking FIFA dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kelebihan beraksi di laman sendiri serta kehadiran bintang seperti Alphonso Davies, mereka dijangka memberikan impak besar pada edisi kali ini.

Namun, meskipun mendominasi perlawanan di Montreal serta dibantu jaringan sendiri Ireland pada separuh masa pertama, Kanada gagal memastikan kemenangan.

Mereka dibolosi gol penyamaan pada minit ke-60 oleh Chiedozie Ogbene yang menyambar bola muntah hasil sepakan penalti Troy Parrott yang berjaya diselamatkan.

Berdepan Ireland yang tidak layak ke Piala Dunia, keputusan itu dianggap mengecewakan bagi Kanada, lebih-lebih lagi selepas kemenangan memberangsangkan 2-0 ke atas Uzbekistan awal minggu ini.

“Sudah tentu kami mahu menjaringkan lebih banyak gol dan meraih kemenangan, tetapi saya berpendapat tenaga sejak awal permainan, pendekatan terhadap perlawanan, serta idea permainan adalah sangat baik,” kata jurulatih Kanada, Jesse Marsch.

“Kami membiarkan satu serangan balas yang benar-benar menghukum kami pada separuh masa kedua, namun secara keseluruhan ini merupakan persembahan yang baik.

“Gol membawa perbezaan, begitu juga kesilapan, jadi kami perlu memperbaiki beberapa aspek.”

Kanada mendominasi sepenuhnya separuh masa pertama dengan mencipta beberapa peluang, sebelum sepakan sudut Stephen Eustaquio terkena dua pemain Ireland — Parrott dan kemudian Jake O’Brien — sebelum bola menerjah gawang.

Liam Millar hampir menjaringkan gol tetapi percubaannya disekat O’Brien, percubaan Ismaël Koné tersasar selepas terkena pertahanan, manakala penyerang Juventus, Jonathan David, tidak diberikan sepakan penalti walaupun membuat tuntutan.

Namun, jaringan Ireland yang hadir bertentangan aliran permainan serta beberapa pertukaran pemain merencatkan rentak Kanada.

Pemain remaja Tottenham Hotspur, Mason Melia, hampir menghadiahkan gol kemenangan untuk Ireland dari bangku simpanan pada penghujung perlawanan.

Kanada diundi dalam Kumpulan B bersama Bosnia-Herzegovina, Qatar dan Switzerland. Walaupun Switzerland dianggap pilihan untuk mendahului kumpulan, undian tersebut dilihat agak baik bagi Kanada yang layak secara automatik sebagai tuan rumah bersama.

Kempen Kanada bermula menentang Bosnia di Toronto pada 12 Jun sebelum beralih ke Vancouver untuk perlawanan menentang Qatar dan Switzerland.

Dalam dua penampilan Piala Dunia sebelum ini — edisi 1986 di Mexico dan 2022 di Qatar — Kanada merekodkan enam kekalahan daripada enam perlawanan.

Namun, mereka mengejutkan ramai apabila mara ke separuh akhir Copa America 2024 sebelum tewas tipis menerusi sepakan penalti kepada Uruguay dalam penentuan tempat ketiga.

Marsch menyifatkan skuadnya sebagai “kumpulan 26 pemain terbaik yang pernah dimiliki negara ini pada satu-satu masa”.

Bagaimanapun, pertahanan Bayern Munich dan tonggak utama Kanada, Alphonso Davies, mengalami kecederaan hamstring dan tidak diturunkan pada Jumaat.

Beliau kini berlumba dengan masa untuk kembali cergas dan dijangka tidak akan diturunkan dalam perlawanan pembukaan menentang Bosnia. — AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: FIFA benarkan botol air pakai buang di perlawanan Piala Dunia selepas bantahan
Next: FIFA tingkatkan bayaran kepada kelab menghantar pemain ke Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.