
KUALA SELANGOR: Kedai pakaian terpakai atau lebih dikenali sebagai bundle kini bukan lagi sekadar lokasi memburu pakaian murah, malah berkembang menjadi destinasi gaya hidup dan ruang komuniti yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Didorong perubahan cita rasa pengguna yang semakin menghargai fesyen unik, berkualiti dan mesra alam, industri pakaian terpakai tempatan turut melalui transformasi ketara dengan kemunculan premis yang menawarkan pengalaman membeli-belah lebih moden, selesa dan eksklusif.
Jika sebelum ini kedai bundle sering dikaitkan dengan longgokan pakaian dan suasana yang kurang teratur, persepsi itu kini semakin berubah apabila ramai pengusaha tampil memperkenalkan konsep ala butik dengan susun atur lebih kemas serta koleksi pakaian yang dikurasi mengikut trend semasa.
Perubahan itu dapat dilihat menerusi AKIQLO Thrift Store di Puncak Alam yang mengetengahkan konsep butik pakaian terpakai dengan ruang jualan yang tersusun rapi serta koleksi pakaian yang dikurasi secara teliti, sekali gus menawarkan suasana lebih premium dan mesra pelanggan.

Pemiliknya Ahmad Kamal Ariffin Ismail, 44, berkata dia mahu mengubah tanggapan masyarakat bahawa pakaian terpakai bukan sekadar pilihan alternatif, malah mempunyai nilai fesyen dan identiti tersendiri.
“Kami mahu pelanggan masuk ke kedai dan rasa seperti berada di butik fesyen, bukan sekadar kedai bundle. Sebab itu kami sangat menitikberatkan aspek susunan, kebersihan dan pemilihan koleksi agar mengikut trend fesyen semasa,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata kebanyakan pakaian yang dijual dibawa masuk dari Jepun dan dipilih secara teliti bagi memastikan hanya koleksi berkualiti ditawarkan kepada pelanggan pada harga serendah RM10 bergantung kepada jenis pakaian.
Setiap pakaian akan melalui proses pemilihan, cucian, gosokan serta pemeriksaan kualiti sebelum dijual, selain sebahagian koleksi turut diolah semula mengikut konsep curated thrift bagi memberikan penampilan lebih moden dan eksklusif.
Berkecimpung dalam perniagaan pakaian terpakai sejak 2019 menerusi pelbagai platform jualan, Ahmad Kamal berkata pengalaman itu banyak membantunya memahami kehendak pelanggan daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia.
“Dari situ saya belajar apa yang pelanggan cari, bagaimana mereka memilih pakaian dan jenis koleksi yang mendapat sambutan. Pengalaman itu banyak membantu dalam mengembangkan perniagaan,” katanya.
Sementara itu, pengasas bersama butik pakaian terpakai TempatKita, Airina Roslan, 30, dan Iffa Roslee, 28, berpendapat persaingan dalam industri pakaian terpakai kini tidak lagi hanya tertumpu kepada penawaran pakaian pada harga berpatutan, sebaliknya pengusaha perlu tampil dengan konsep lebih kreatif bagi menarik kehadiran pelanggan ke premis mereka.
Airina berkata antara kelainan yang diketengahkan bukan sekadar melalui koleksi pakaian yang mengikut trend semasa, malah mewujudkan suasana yang menjadikan premis itu sebagai destinasi kunjungan pelbagai lapisan masyarakat.
Antara inisiatif yang diperkenalkan mereka ialah menyediakan ruang kepada usahawan lain untuk menjalankan perniagaan seperti kiosjualan kopi serta kemudahan photo booth (kios foto) bagi membolehkan pengunjung merakam kenangan ketika berkunjung ke premis berkenaan.
“Konsep ini bukan sahaja memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan, malah membuka peluang kepada peniaga lain untuk sama-sama berkongsi rezeki dan berkembang dalam ekosistem perniagaan yang sama.
“Kami mahu pelanggan datang bukan semata-mata untuk membeli pakaian, tetapi menikmati pengalaman yang lebih menyeluruh bersama keluarga dan rakan-rakan. Sebab itu, TempatKita bukan hanya sebuah kedai thrift, tetapi sebuah ruang komuniti yang menghimpunkan pelbagai aktiviti dan pengalaman dalam satu lokasi,” katanya.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata usahanya bersama rakan karib menghidupkan suasana di TempatKita di Seksyen 13, Shah Alam itu turut disokong dengan pemilihan pakaian yang berkualiti dan bersih serta berada dalam keadaan baik.
Nilai tambah seperti pengalaman pelanggan, suasana premis dan elemen komuniti kini menjadi faktor penting dalam memastikan kedai pakaian terpakai terus relevan dan berkembang seiring perubahan gaya hidup pengguna.
-Bernama