
KUCHING: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini melaksanakan operasi pemindahan perubatan (Medevac) di kawasan pedalaman bagi membawa seorang pesakit lelaki berusia 18 tahun dari Long Itam, Baram ke Hospital Miri untuk rawatan segera.
Penolong Penguasa Bomba Norhasdi Ismail dari Pangkalan Udara Wilayah Sarawak JBPM berkata, pihaknya menerima permohonan daripada Pejabat Residen Miri bagi memindahkan remaja tersebut yang dalam keadaan kritikal kerana jangkitan serius di bahagian abdomen.
Beliau berkata helikopter Mi-171 dari Pangkalan Udara Wilayah Sarawak JBPM Miri digerakkan ke lokasi pada 10.00 pagi dengan kekuatan sembilan kru bersama tiga pegawai kesihatan dari Hospital Miri.
“Pesawat tiba di Long Itam pada 11.15 pagi tadi lalu membawa pesakit, Wilfrel Thomas, sebelum mendarat di Lapangan Terbang Miri pada 12.13 tengah hari.
“Setibanya di sana, pesakit diserahkan kepada pasukan ambulans yang telah bersedia untuk dibawa ke Hospital Miri bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhasdi berkata, operasi penerbangan pada ketinggian 1,000 kaki itu berjalan lancar dengan keadaan cuaca baik serta tapak pendaratan yang sesuai di Long Itam. – Bernama