
KUALA LUMPUR: Tawaran hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 serta peluang keemasan menjalani sesi pemilihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dijangka menjadi rebutan pemain remaja dalam edisi sulung Piala Lee Chong Wei (Piala LCW) 2026 yang dijadual berlangsung dari 29 Ogos hingga 6 September ini.
Kejohanan yang mendapat pengiktirafan rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara dan disifatkan sebagai kejohanan badminton remaja dengan nilai ganjaran paling lumayan pernah dianjurkan di negara ini.
Penganjur turut mengumumkan pendaftaran akan dibuka secara rasmi pada 15 Jun ini bermula 12 tengah hari, dengan setiap kategori dihadkan kepada 128 penyertaan serta tambahan 32 tempat dalam senarai menunggu.
Menurut kenyataan penganjur, peserta dalam senarai menunggu akan dihubungi sekiranya berlaku penarikan diri atau kekosongan daripada senarai 128 peserta yang telah disahkan.
Kenyataan itu memaklumkan format pertandingan menyaksikan 128 pemain akan bersaing untuk merebut 32 tempat ke pusingan akhir yang membabitkan 64 pemain.
Sebanyak 32 lagi slot akan diisi pemain pilihan negeri yang dicalonkan oleh Persatuan Badminton Negeri masing-masing bagi melengkapkan senarai peserta pusingan akhir.
Sejajar dengan peraturan baharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kejohanan itu akan menggunakan sistem pemarkahan 3×15 iaitu format terbaik daripada tiga set dengan setiap set dimainkan sehingga 15 mata.
Edisi sulung kejohanan itu mempertandingkan tiga kategori umur iaitu Bawah 13 Tahun (B13), B15 dan B17 bagi acara perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita.
Bagi kategori B17, penganjur turut mempertandingkan acara beregu campuran sekali gus melengkapkan lima acara keseluruhan, dengan setiap peserta hanya dibenarkan menyertai maksimum dua acara bagi kategori umur masing-masing.
“Kelayakan umur bagi setiap kategori adalah seperti berikut: B13 membabitkan pemain yang lahir pada 2013, 2014 atau 2015; B15 bagi pemain yang lahir pada 2011 atau 2012; manakala B17 untuk pemain yang lahir pada 2009 atau 2010,” menurut kenyataan itu.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM50 bagi acara perseorangan dan RM100 bagi acara beregu, dengan hasil kutipan akan disalurkan oleh Datuk Seri Lee Chong Wei kepada sebuah badan kebajikan yang akan diumumkan kelak.
Pemain dan ibu bapa disaran melayari laman sesawang rasmi www.leechongweicup.com bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat serta peraturan pertandingan.
-Bernama