
LONDON, United Kingdom: Bintang pop Dua Lipa dan pelakon filem Fantastic Beasts, Callum Turner, dilaporkan telah berkahwin di London pada Ahad.
Menurut laporan media, majlis perkahwinan yang berlangsung secara sederhana itu mungkin akan disusuli dengan sambutan selama tiga hari di Sicily.
Akhbar tabloid The Sun dan Daily Mail menyiarkan gambar pasangan itu meninggalkan Old Marylebone Town Hall selepas upacara perkahwinan sivil yang hanya dihadiri oleh beberapa ahli keluarga dan rakan rapat.
Dua Lipa, 30, dilaporkan mengenakan gaun dan topi berwarna putih yang direka oleh rumah fesyen Schiaparelli untuk majlis tersebut. Turner, 36, pula mengenakan sut berwarna biru gelap.
Menurut The Sun, pasangan itu kini merancang untuk mengadakan majlis sambutan mewah selama tiga hari di Sicily pada penghujung minggu hadapan.
Wakil pasangan berkenaan, yang telah menjalin hubungan sejak Januari 2024, tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan AFP untuk mendapatkan komen.
Dua Lipa, anak kepada pendatang dari Kosovo, muncul sebagai antara penyanyi paling terkenal di Britain sejak kejayaan lagu hitnya, Be The One, pada 2016. Dalam satu wawancara dengan British Vogue tahun lalu, beliau mengumumkan bahawa beliau dan Turner merancang untuk berkahwin.
Turner pula meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi penampilannya dalam siri filem Fantastic Beasts. Beliau juga dianggap sebagai antara calon berpotensi untuk membawakan watak James Bond yang seterusnya. – AFP