
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menunggu hasil kajian jajaran Kereta Api Borneo yang sedang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan sebelum mempertimbangkan peluasan rangkaian kereta api ke bahagian selatan negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kajian berkenaan melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Brunei, namun ketika ini Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan kepada kajian bagi wilayah Malaysia yang merangkumi Sarawak dan Sabah.
Menurutnya, kajian tersebut sedang dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi mengenal pasti jajaran yang sesuai sebelum sebarang pembangunan dilaksanakan.
“Apabila jajaran itu sudah dikenal pasti, kita akan mula membina kereta api dari Bintulu ke Samalaju.
“Ia merupakan sebahagian daripada jajaran yang sedang dibincangkan dengan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh kepada usaha tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Ibu Pejabat Pengakap Cawangan Sarawak Baharu di Jalan Batu Lintang, hari ini.
Mengulas kemungkinan laluan kereta api diperluaskan sehingga ke Kuching pada masa hadapan, Abang Johari berkata perkara itu bergantung kepada jajaran nasional yang sedang dikaji dan perlu dilaksanakan secara berperingkat.
“Kita tengok dahulu jajaran nasional. Biar kita bergerak secara berperingkat kerana kos pembinaan kereta api agak tinggi,” katanya.
Beliau berkata, cadangan pembinaan laluan Bintulu-Samalaju didorong oleh keperluan logistik yang semakin meningkat antara Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Samalaju, selain menyokong pembangunan kluster industri rendah karbon di kawasan berkenaan.
Menurutnya, laluan tersebut berpotensi menjadi pemangkin kepada sistem pengangkutan yang lebih cekap bagi sektor perindustrian dan perdagangan di wilayah tengah Sarawak.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan penggunaan teknologi hidrogen dalam sistem kereta api pada masa hadapan, namun menyifatkan perbincangan mengenainya masih terlalu awal.
Katanya, perkembangan teknologi semasa menunjukkan kos pengeluaran hidrogen semakin kompetitif berbanding bahan api fosil, khususnya dalam keadaan pasaran tenaga global yang tidak menentu.
“Saya percaya apabila teknologi pengeluaran hidrogen semakin maju, harga hidrogen berpotensi menjadi lebih murah berbanding bahan api fosil.
“Pada peringkat awal memang ramai mengkritik cadangan hidrogen kerana kosnya tinggi, tetapi perkembangan yang berlaku hari ini menunjukkan teknologi itu semakin relevan dan berdaya saing,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat