
GENEVA: Larangan atau sekatan umur terhadap penggunaan media sosial semata-mata tidak mencukupi untuk melindungi golongan bawah umur daripada kesan buruk platform itu, kata pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini sambil menegaskan bahawa syarikat teknologi dan algoritma mereka juga perlu tertakluk kepada perlindungan lebih ketat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Negara perlu mewajibkan syarikat teknologi menerapkan ciri keselamatan dalam reka bentuk platform mereka dan bukannya meletakkan tanggungjawab itu kepada ibu bapa dan kanak-kanak,” kata Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB Volker Turk.
“Larangan menyeluruh terhadap media sosial bukan penyelesaian mutlak bagi isu yang bersifat pelbagai dimensi,” katanya ketika pejabat beliau menerbitkan cadangan baharu kepada kerajaan dan syarikat teknologi bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian.
Menurut garis panduan itu, kerajaan perlu memperkenalkan peraturan lebih ketat manakala syarikat teknologi harus memikul tanggungjawab lebih besar terhadap reka bentuk platform mereka. Platform juga perlu dibangunkan dengan mengambil kira aspek keselamatan dan pihak yang menyebabkan kemudaratan perlu dipertanggungjawabkan.
Pejabat hak asasi PBB itu turut menggesa tindakan terhadap ciri yang disifatkan sebagai ‘reka bentuk ketagihan’ seperti kepada aspek paparan tanpa had, autoplay dan notifikasi berterusan. Ia juga menegaskan bahawa pengiklanan dalam talian perlu tertakluk kepada peraturan ketat.
Australia memperkenalkan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun pada Disember lalu dan beberapa kerajaan lain sejak itu mengumumkan rancangan melaksanakan langkah serupa termasuk Sepanyol, Greece, Cyprus dan Austria.
Turk berkata, perlindungan juga diperlukan bagi sistem pengesahan umur.
“Pengesahan umur yang dilaksanakan secara tidak tepat bukan sahaja gagal mencapai matlamatnya malah boleh menjejaskan privasi kanak-kanak dan orang dewasa,” katanya. – Bernama