
PENYALAHGUNAAN Kecerdasan Buatan (AI) dan penyebaran maklumat serta imej palsu (deepfake) menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.
Berita palsu melalui lakaran, gambar dan grafik yang dijana AI kini semakin berleluasa, sekali gus menimbulkan cabaran besar kepada masyarakat dalam membezakan antara fakta dan manipulasi digital.
Ini kerana teknologi AI mampu menghasilkan imej, video dan suara yang kelihatan sangat meyakinkan sehingga mudah memperdaya orang ramai, terutama apabila dikongsi pantas di media sosial tanpa semakan kesahihan.
Penyebaran kandungan palsu bukan sahaja boleh mencetuskan panik dan salah faham, malah berpotensi menjejaskan reputasi individu, keselamatan awam serta keharmonian masyarakat.

Contohnya, setelah Jambatan Batang Lupar 1 siap digunakan oleh orang ramai, pelbagai gambar lakaran AI tersebar seperti pasar ikan sebelum merentasi jambatan, restoran, gerai jualan selain ‘kewujudan’ restoran makanan segera serta stesen minyak di Pulau Triso, yang dihubungkan dengan jambatan itu.
Kita sanjung kreativiti mereka mengolahnya dengan bantuan ChatGPT iaitu keinginan mahu melihat lakaran itu menjadi nyata.
Namun, sesetengah pengguna tahu ia adalah ‘buatan AI’ tetapi ada yang percaya, terpedaya terutama mereka yang belum menggunakan laluan jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia itu.
Pada 2024, Datuk Seri Siti Nurhaliza pernah dilaporkan mendedahkan taktik digunakan ‘scammer’ yang dipercayai menggunakan teknologi AI bagi meniru suara dan wajahnya demi mengaut keuntungan. Rupa-rupanya ‘deepfake’.
Malah pemimpin negara turut menjadi sasaran ‘deepfake’.
Hakikatnya, AI boleh diguna untuk kebaikan dan kejahatan. Kita perlu sentiada berwaspada maklumat diterima dan pastikan sebarang video diterima adalah benar (tulen) atau dihasilkan melalui aplikasi AI.
Cara kenal pasti imej/video AI
- Tekstur dan struktur: Perhatikan struktur wajah yang pelik, bentuk jari yang tidak normal, atau tekstur kulit yang kelihatan terlalu sempurna atau kabur.
- Refleksi mata: Pencahayaan dan pantulan pada mata selalunya kelihatan tidak semula jadi dalam imej janaan AI.
- Sumber rasmi: Sentiasa sahkan maklumat melalui portal rasmi kerajaan atau sumber berita arus perdana yang sah dan jangan mudah terpedaya dengan sebarang tawaran kewangan luar biasa di internet.

Berikut adalah beberapa impak dan perkembangan utama berkaitan berita serta gambar palsu janaan AI di negara ini:
Kes-kes utama di Malaysia:
- Penyamaran identiti: Imej dan video palsu yang dihasilkan menggunakan AI sering menyamar sebagai pemimpin negara atau orang kenamaan (seperti Yang di-Pertuan Agong) untuk memperdaya orang ramai mengenai pemberian bantuan kewangan.
- Eksploitasi selebriti: Wajah dan suara selebriti tempatan dieksploitasi oleh sindiket penipuan untuk iklan palsu di media sosial.
- Krisis global dan kestabilan: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengesan ratusan kandungan palsu berkaitan krisis global yang dijana menggunakan AI bagi menjejaskan kepercayaan awam.
Langkah keselamatan dan penguatkuasaan
- Sektor kerajaan dan Imigresen: Kerajaan telah memperketatkan kawalan. Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak penggunaan gambar yang dijana AI untuk dokumen rasmi seperti pasport kerana sistem imigresen kini berkeupayaan mengesan imej palsu.
- Tindakan undang-undang: Pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) terus memperhebat siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan terhadap penyebar bahan manipulasi AI.
Ancaman maklumat palsu AI terhadap kestabilan negara.

MCMC mengesan 464 kandungan palsu berkaitan krisis bekalan global dijana AI sejak Januari 2026.
Penyebaran ini mengancam kestabilan pasaran serta mencetuskan panik pembelian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Impak teknologi deepfake dan manipulasi pasaran
Penggunaan teknologi deepfake menjejaskan kepercayaan awam terhadap kenyataan rasmi kerajaan sehingga memaksa Kementerian Kesihatan (KKM) memperketat pemantauan maklumat kesihatan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula memberi amaran bahawa berita palsu AI mengenai harga barang boleh memanipulasi persepsi pengguna dan menjejaskan usaha kawalan harga barangan keperluan harian.
Langkah keselamatan dan kawalan etika digital
Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan langkah keselamatan siber susulan peningkatan ancaman penipuan kewangan berasaskan AI yang menyamar sebagai institusi bank.
Tindakan ini penting bagi melindungi aset dan keyakinan pengguna terhadap sistem perbankan digital negara.
Kerajaan kini merangka garis panduan etika penggunaan AI yang lebih tegas dengan kerjasama penyedia platform digital untuk memadam kandungan berbahaya dengan lebih pantas.
Langkah komprehensif ini dilaksanakan demi menjaga keharmonian dan keselamatan negara daripada ancaman maklumat palsu yang semakin berleluasa.
Kita akui AI banyak membantu dalam pelbagai urusan kerja, tetapi masalahnya ialah penyalahgunaan sehingga boleh mengelirukan. Lebih parah, kadang-kala kita sukar membezakan yang tulen atau palsu.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak