Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Operasi Empuru dan pemindahan penduduk Ulu Oya
  • KOLUMNIS

Operasi Empuru dan pemindahan penduduk Ulu Oya

Utusan Sarawak 8 hours ago

TARIKH 26 Februari 1972 melakar satu peristiwa hitam dalam sejarah Sarawak. Lebih separuh abad yang lalu (54 tahun), penduduk Iban di Ulu Oya dikejutkan dengan berita pembunuhan tragis pemimpin mereka oleh pihak komunis.

Peristiwa tragis tersebut mengorbankan Penghulu Imban, seorang pemimpin berintegriti yang ketegasan dan tidak berkompromi dengan pihak komunis di Sarawak. Detik hitam itu bermula apabila pihak komunis bertindak menceroboh Rumah Panjang Balang (Rh Balang), yang merupakan kediaman beliau.

Kerjasama rapat antara penduduk Iban dengan pasukan keselamatan kerajaan sentiasa mendapat tentangan dan ugutan daripada pihak komunis.

Keadaan menjadi lebih tegang memandangkan beberapa orang penduduk di rumah panjang tersebut turut berkhidmat sebagai Pengangkap Sempadan (Border Scout). Pasukan ini merupakan pasukan yang membantu pihak kerajaan dalam usaha membenteras ancaman komunis.

Kelantangan Penghulu Imban menentang pihak komunis telah menyebabkan beliau dibunuh oleh kumpulan tersebut. Beberapa senjata kepunyaan Pengangkap Sempadan juga telah dirampas oleh pihak komunis. 

Peristiwa berdarah itu bukan sahaja menggemparkan penghuni rumah panjang beliau, malah membuka mata seluruh penduduk pedalaman Sarawak tentang realiti ancaman komunis.

Cadangan

Impak psikologi daripada serangan berkenaan telah mencetuskan suasana cemas dan kegelisahan yang hebat di kawasan Ulu Oya.

Perkembangan kritikal ini berada di bawah pengawasan rapi Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM), terutamanya apabila penduduk yang terancam mula mendesak pihak berkuasa untuk campur tangan keadaan fizikal dan geopolitik di sana demi menjamin keselamatan nyawa dan harta benda mereka.

Rentetan daripada ancaman tersebut, RASCOM segera melancarkan Operasi Empuru demi menjamin keselamatan penduduk pedalaman. Operasi penempatan semula ini dilaksanakan bagi memindahkan komuniti tempatan ke kawasan yang lebih selamat dan terkawal.

Matlamat penempatan semula ini adalah untuk mengasingkan penduduk pedalaman daripada gangguan, tekanan dan pengaruh komunis, sekali gus mendekatkan mereka dengan pihak kerajaan demi menjamin perlindungan keselamatan yang lebih holistik.

Selain aspek keselamatan, RASCOM turut memfokuskan pembangunan penempatan baharu ini melalui penyediaan kemudahan sosial yang memadai serta pembukaan peluang ekonomi, khususnya dalam sektor pertanian.

Kepentingan

Operasi ini mempunyai kepentingan tersendiri memandangkan pihak kerajaan mengalami kesukaran untuk menyediakan pelan perlindungan dan keselamatan yang menyeluruh kepada penduduk pedalaman.

Hal ini disebabkan oleh corak penempatan masyarakat Iban pada masa itu yang hidup dalam kelompok kecil dan berselerak di pedalaman Sarawak sebelum bermulanya ancaman komunis.

Apabila ancaman komunis muncul, kehidupan penduduk Iban ini mengalami kesukaran untuk berdepan dengan kehidupan harian. Ini kerana mereka berdepan dengan ancaman berterusan pihak komunis yang akan datang pada bila-bila masa. 

Atas sebab itu penting bagi pihak kerajaan untuk memberi pelindungan keselamatan dan membantu kehidupan seharian mereka.

Bantuan

Beberapa inisiatif ekonomi telah dirangka bagi membantu meningkatkan taraf hidup penduduk di skim penempatan semula yang berkeluasan keseluruhan 1,999.17 hektar.

Bagi memenuhi keperluan sara hidup segera, setiap keluarga menerima peruntukan 1.21 hektar (tiga ekar) tanah untuk lot rumah dan tanaman kontan dengan 1.5 hingga 2 ekar dengan keutamaan dalam penanaman lada.

Sementara itu, sebagai strategi serampang dua mata untuk menjamin kestabilan ekonomi jangka panjang, kerajaan turut membahagikan lot tanah sekunder seluas 2.02 hektar (lima ekar) bagi setiap keluarga untuk tujuan pengusahaan tanaman getah.

Dalam tempoh peralihan selama tiga tahun, penduduk diberikan elaun sara hidup sebanyak RM4 sehari sebelum hasil tanaman lada dapat dituai. Kerajaan juga memperkenalkan penanaman getah sebagai langkah serampang dua mata untuk mengelakkan kebergantungan kepada satu tanaman komersial tunggal.

Keputusan ini sangat kritikal memandangkan industri lada hitam pada ketika itu sering berdepan dengan ancaman penyakit reput pangkal akar (footrot) yang berisiko melumpuhkan pendapatan harian penduduk.

Dalam membangunkan dan menjayakan skim penempatan semula ini beberapa agensi kerajaan akan terlibat.  Jabatan Tanah dan Ukur bertindak dalam proses pengambilantanah. 

Jabatan Kerja Raya pula menjalankan kerja-kerja membina jalan. Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak pula berperanan dalam program pertanian dan perumahan untukpenduduk yang terlibat dalam skim penempatan semula itu. 

Dalam perancangan operasi ini penempatan baharu itu juga akan dilengkapi dengan beberapa bangunan awam seperti klinik, dewan masyarakat, gedung koperasi dan juga pos kawalan Unit Keselamatan Kawasan (Area Security Unit).

Beberapa lagi kemudahan lain juga dalam perancangan untuk memberi keselesaan kepada kehidupan penduduk di kawasan baharu itu.

Awal

Mengikut pelan asal, skim penempatan semula ini direka untuk menampung kira-kira 400 keluarga. Bagaimanapun, pelaksanaan di lapangan menunjukkan perkembangan yang agak perlahan apabila setakat 1974, dilaporkan hanya lebih separuh daripada sasaran awal, iaitu sekitar 200 keluarga, yang telah didaftarkan di penempatan tersebut.

Kawasan penempatan semula ini tidak diabaikan daripada arus pembangunan apabila turut dibekalkan dengan kemudahan asas seperti air bersih dan elektrik.

Tambahan pula, komitmen kerajaan dalam aspek sosial terbukti melalui pembinaan sebuah sekolah bagi membolehkan generasi muda di penempatan tersebut menerima pendidikan yang sewajarnya.

Proses pengambilan tanah pula melibatkan kawasan tanah adat masyarakat setempat. Tanah adat yang terkesan telah dibayar pampasan oleh kerajaan kepada pemilik masing-masing yang memberikan persetujuan terhadap pengambilalihan tersebut.

Secara keseluruhannya, Operasi Empuru merupakan sebuah pangkalan strategi yang berjaya melindungi kepentingan dan keselamatan penduduk Iban di Nanga Sekuau.

Meskipun penempatan semula ini mendepani pelbagai kesukaran pada peringkat awal, situasinya beransur-ansur pulih dan bertambah baik rentetan pengenalan pelbagai kemudahan asas.

Perkembangan ini membuktikan keprihatinan tinggi pihak kerajaan terhadap kebajikan dan kelangsungan hidup masyarakat di penempatan tersebut.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Kesiapsiagaan manusia penting dalam industri penerbangan, galas amanah ratusan nyawa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.