
KUCHING: Empat lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun berkumpulan bersenjata di sebuah rumah peguam di Lorong Lapangan Terbang di sini.
ACP Alexson Naga Chabu berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 18 Mei 2026 kira-kira 8.29 pagi.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis berjaya menahan empat lelaki tempatan pada hari sama kira-kira 3.20 petang.
“Semakan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Proton Iswara yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut serta beberapa unit telefon bimbit bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut beliau, permohonan reman terhadap semua suspek telah diluluskan selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kuching bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan kediaman termasuk memasang CCTV dan sistem penggera serta memastikan pintu dan pagar sentiasa berkunci terutama pada waktu malam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan diminta menghubungi talian polis di 082-244444.