KUCHING, 12 November: Polis Sarawak menumpaskan kegiatan sindiket penipuan menerusi pusat panggilan dengan penahanan 42 individu dalam Op Magpie 01/2026, selain merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang disyaki tidak dibayar cukai bernilai RM9.64 juta dalam operasi berasingan di Sibu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak berkata, Op Magpie 01/2026 merupakan operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Bahagian Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan dilaksanakan serentak di seluruh negara dari 19 hingga 31 Oktober lalu.
Beliau berkata, operasi itu bertujuan membanteras kegiatan penipuan yang dijalankan menerusi pusat panggilan, termasuk sindiket yang beroperasi secara terancang melalui beberapa unit seperti pemasaran, kewangan dan pusat panggilan.
Di Sarawak, sebanyak tujuh serbuan dilakukan di tujuh premis sekitar Bintulu, Kuching, Padawan, Miri dan Sibu, melibatkan dua rumah banglo, tiga rumah teres serta dua unit apartmen.
Hasil operasi itu, seramai 42 individu berusia antara 19 hingga 61 tahun ditahan, terdiri daripada 36 lelaki dan enam wanita.
Daripada jumlah itu, 14 merupakan warga tempatan, manakala 28 lagi warga asing, termasuk 18 warga China, lapan warga Indonesia, seorang warga Taiwan dan seorang warga Myanmar.
Menurut Saifullizan, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud, termasuk pelaburan mata wang kripto, selain menawarkan permainan judi dalam talian serta menguruskan kewangan hasil kegiatan penipuan.
Kegiatan itu menyasarkan mangsa dari Jepun, China, Indonesia dan Austria.
Polis turut merampas 33 komputer riba, empat set komputer, 76 telefon bimbit, lima set peranti Unifi, satu set Starlink dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM229,500.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Setakat ini, seramai 33 individu telah dituduh di mahkamah, manakala tiga lagi dijadikan saksi pendakwaan. Daripada individu yang dituduh, 17 mengaku bersalah dan dikenakan denda antara RM500 hingga RM4,000 setiap seorang.


ANTARA barangan yang dirampas dalam operasi membanteras sindiket penipuan pusat panggilan dan kegiatan penjualan rokok serta minuman keras tidak bercukai di Sarawak.
Dalam operasi berasingan, Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang disyaki tidak dibayar cukai, bernilai RM9,643,952, menerusi Op Taring Pensura di Sibu pada 7 November lalu.
Saifullizan berkata, operasi yang bermula kira-kira 8.00 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah Lima, Sibu, menggunakan bot ronda PGR 8.
Bertindak atas maklumat, pasukan berkenaan melakukan pemeriksaan di sebuah jeti persendirian di Jalan Sungai Maaw, Sungai Batang Rajang, sebelum menemui seorang lelaki tempatan berbangsa Iban berusia lingkungan 20-an berhampiran sebuah kontena dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan lanjut mendapati kontena berkenaan mengandungi pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang disyaki tidak dibayar cukai selepas lelaki itu diarahkan membukanya.
Lelaki terbabit gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan berkenaan sebelum ditahan, manakala semua barang kes dirampas untuk siasatan mengikut Akta Kastam 1967.
Kes itu diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk tindakan lanjut.
Saifullizan menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian serta aktiviti menyalahi undang-undang.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi mengesan dalang utama, rangkaian kewangan dan pihak yang bersubahat dalam kegiatan jenayah berkenaan.
Orang ramai turut diminta supaya berwaspada terhadap premis mencurigakan, khususnya kediaman atau bangunan yang disyaki digunakan sebagai pusat operasi penipuan dalam talian.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan penipuan dalam talian boleh disalurkan kepada JSJK Sarawak menerusi talian 011-62890089.
Turut hadir ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, ACP Maria Rasid dan Komandan Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, ACP Ab Rahman Mat Hasan.
Oleh Shikin Mahmud



