BAU, 12 November: Sebuah jip jenis Daihatsu Rocky Feroza yang dilaporkan hilang di Kuching ditemukan anggota kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau ketika menjalankan rondaan pencegahan jenayah di Jalan Bau-Serikin, pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira 7.40 pagi apabila anggota MPV menerima maklumat berhubung kehilangan kenderaan berkenaan sebelum terserempak dengannya ketika melakukan rondaan.
Menyedari kehadiran polis, pemandu jip itu bertindak memecut laju sebelum memasuki jalan kebun di Lorong Podam 1, Kampung Jagoi Duyoh.
Pemandu yang dipercayai seorang lelaki kemudian meninggalkan kenderaan dan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
Usaha mengejar serta mengesan suspek dilakukan, namun lelaki berkenaan berjaya meloloskan diri.
Pemeriksaan lanjut mendapati jip berkenaan mempunyai rekod kehilangan di Kuching sebelum dibawa ke IPD Bau untuk tindakan lanjut.
Oleh Shikin Mahmud




