Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Wong komited bantu rakyat di DUN Bawang Assan
  • Tengah
  • WILAYAH

Wong komited bantu rakyat di DUN Bawang Assan

Utusan Sarawak 4 hours ago
UNTUK RAKYAT… Wong merakam kenangan bersama semua penerima Geran Projek Khas Tahun 2026 semalam.

SIBU: Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diagihkan secara adil kepada rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan bagi memastikan lebih ramai penduduk menerima manfaat daripada bantuan yang disalurkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, setiap tahun beliau menerima ratusan permohonan bantuan daripada pelbagai pertubuhan, persatuan, kelab, badan sukan dan rekreasi, sekolah, gereja, tokong serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, kawasan Bawang Assan sahaja mempunyai kira-kira 105 rumah panjang sekali gus menjadikan proses pengagihan bantuan secara adil kepada semua pihak satu cabaran.

“Rumah panjang yang mempunyai lebih banyak pintu akan menerima peruntukan lebih besar manakala rumah panjang yang mempunyai jumlah pintu lebih sedikit akan menerima bantuan pada kadar lebih rendah.

“Cara ini membolehkan bantuan diagihkan dengan lebih adil supaya lebih ramai rakyat dapat menerima manfaat,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Projek Khas Tahun 2026 di sini, semalam.

Selain geran MRP, katanya, terdapat juga peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) serta bantuan pembaikan rumah.

“Saya memberi jaminan akan terus berusaha sedaya upaya membantu seramai mungkin rakyat mengikut kemampuan peruntukan dan prosedur kerajaan yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, memandangkan semua cek bantuan dikeluarkan daripada perbendaharaan kerajaan, beberapa prosedur perlu dipatuhi sebelum dana dapat disalurkan kepada penerima.

“Oleh itu, tiga tandatangan diperlukan sebelum dana tersebut dapat disalurkan dan diterima,” ujarnya.

Pada tahun ini, katanya, beliau cuba memperuntukkan bantuan kepada setiap rumah panjang dalam kawasan DUN Bawang Assan sempena sambutan Hari Gawai yang bakal tiba.

“Memandangkan Hari Gawai semakin hampir, saya berharap geran yang diberikan ini dapat digunakan untuk menganjurkan aktiviti dan sambutan Gawai di rumah panjang masing-masing,” ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut, sebanyak 17 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang menerima Geran Projek khas Tahun 2026 melibatkan peruntukan berjumlah RM56,000.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan pembangunan luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui bantuan yang disalurkan secara berterusan dan menyeluruh.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: FTZ Bintulu berpotensi perkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab industri ASEAN
Next: Tiang agih 1,300 hadiah Hari Ibu kepada pengundi wanita

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.