KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) membuat keputusan untuk melaksanakan operasi penguatkuasan, pembanterasan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bergejala positif Covid-19 termasuk pihak yang melindungi serta memberi pekerjaan kepada warga asing di negeri ini.
Timbalan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Dato Mohamad Morshidi Mustapha berkata, Operasi Jala itu dilaksanakan bagi mengurangkan permintaan, menghadkan pergerakan dan mengusir PATI.
“Operasi Jala yang dilancarkan oleh Kerajaan Sarawak adalah ekoran daripada penularan wabak pademik Covid-19 yang berpunca daripada pendatang tanpa izin (PATI) daripada negara jiran yang menyeludup masuk termasuk yang sudah sedia ada di dalam Sarawak.
“Dipercayai wujud ejen-ejen yang bertanggungjawab dan menguruskan kemasukan PATI ke negeri Sarawak untuk dihantar ke majikan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media berkenaan dengan penangkapan PATI di Bilik Mesyuarat Tingkat 6, Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, Kuching, semalam.
Dato Mohamad Morshidi Mustapha yang juga merangkap Timbalan Ketua Sekretariat JPBN berkata, terdapat 22 tapak pembinaan dan 14 buah premis telah diperiksa di sekitar Kuching.
“Jumlah keseluruhan kawasan yang telah diperiksa adalah sehingga kini adalah 36 premis, manakala seramai 668 orang tempatan dan 625 orang warganegara asing termasuk Indonesia, Pakistan, India, Filipina, China dan Myanmar telah diperiksa.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 58 PATI telah ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan ditahan di pusat kuarantin sementara.
Apabila ditanya lanjut mengenai pelaksanaan Op Jala berkenaan, Dato Mohamad Morshidi Mustapha bahawa pusat penahanan sementara akan dibina di Sarawak untuk menempatkan PATI yang ditahan di bawah Op Jala.
“Setakat ini terdapat tiga pusat penahan sementara iaitu yang terletak di Kuching, Sibu dan Miri dan akan dikendalikan oleh JPBN.
“Op Jala yang telah dijalankan pada 20 Januari lalu adalah usaha yang berterusan untuk mengekang penularan wabak pademik Covid-29 daripada pendatang asing tanpa izin ke negeri ini,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO