
MIRI: Kapal tunda bersama dua tongkang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) selepas gagal mengemukakan dokumen penting ketika diperiksa di perairan Miri, semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Mohd Khairol Anuar Saad berkata, pemeriksaan menerusi Op Permai 01/2019 dan Op Tiris 4.0 itu dijalankan antara 5.15 petang hingga 5.45 petang di kedudukan 0.9 batu nautika barat Lutong.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kapal tunda dan tongkang pertama gagal mengemukakan Lesen Perkapalan Domestik (DSL), manakala kedua-dua tongkang turut tidak memiliki dokumen kestabilan kapal.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal tunda dan tongkang terbabit dikendalikan 12 kru terdiri daripada lima warga tempatan, empat warga Indonesia, dua warga Myanmar dan seorang warga India berusia antara 20 hingga 70 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan kesalahan itu, perintah tahanan dikeluarkan terhadap kapal tunda dan tongkang terbabit sebelum diarahkan berlabuh di lokasi selamat.
Katanya, nakhoda kapal bersama seorang kru bagi kedua-dua tangkapan kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Miri untuk tindakan lanjut mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Oleh Liong Chai Ling