SIBU, 4 November: Empat lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian merusuh dan merosakkan sebuah kereta di Rantau Panjang.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sibu di tepi jalan Lorong Salim 5B3 kira-kira 9.30 malam tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila suspek terserempak dengan sebuah Perodua Axia berwarna perak yang berhenti di tepi jalan ketika dalam perjalanan ke Rantau Panjang.
“Suspek kemudian menghampiri kereta berkenaan untuk memeriksa individu di dalamnya, namun pemandunya bertindak mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kereta dinaiki suspek sebelum memecut melarikan diri.
“Keempat-empat suspek kemudian mengejar kenderaan tersebut sehingga ke sebuah persimpangan lampu isyarat sebelum bertindak merosakkannya,” ujarnya ketika dihubungi petang tadi.
Abang Zainal berkata, motif kejadian dipercayai dendam selepas kenderaan dinaiki suspek dilanggar.
“Keempat-empat suspek juga mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Katanya, kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu untuk siasatan lanjut dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Sibu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta merusuh dengan senjata,” tegasnya.
Dalam pada itu, video yang memaparkan kejadian tersebut telah tular di media sosial semalam.
Oleh Akun Giman




