
Miri: Sebuah vesel tunda bersama tongkang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri ketika bersauh di perairan Kuala Baram, petang tadi.
Pengarah Maritim Zon Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, pemeriksaan sekitar 2.5 batu nautika barat laut Kuala Baram itu mendapati vesel tunda terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, vesel berkenaan gagal memiliki sijil kelulusan penggunaan peralatan komunikasi radio di atas kapal.


“Tongkang terbabit pula disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 selepas gagal mengemukakan dokumen stabiliti vesel semasa pemeriksaan dijalankan.
“Vesel itu dikendalikan sembilan kru warga tempatan berusia antara 23 hingga 54 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, perintah tahanan dikeluarkan terhadap kedua-dua vesel sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh mengancam keselamatan pelayaran serta mengakibatkan kehilangan harta benda.
“Penguatkuasaan di perairan negara akan terus dipertingkat secara konsisten bagi memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang sentiasa terpelihara,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling