
SIBU: Seorang wanita dilaporkan terputus hubungan dengan keluarganya sejak kira-kira tiga tahun lalu, mendorong ahli keluarganya membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk mengesan keberadaannya.
Laporan berhubung perkara itu dibuat di Balai Polis Sentral di sini, hari ini selepas pelbagai usaha untuk menghubungi wanita terbabit gagal.
Wanita berkenaan dikenali sebagai Roshida Mohd Sapawie, berusia lingkungan 30-an dan merupakan anak bongsu daripada enam beradik.
Difahamkan, sebelum ini wanita terbabit pernah bekerja di Pasar Sentral Sibu dan mempunyai tiga orang anak.
Dua daripada anaknya telah dewasa manakala anak bongsunya yang kini berusia tujuh tahun dijaga keluarga sejak wanita berkenaan tidak lagi dapat dihubungi.

Menurut keluarga, wanita itu sebelum ini tinggal bersendirian di rumah sewa dan tidak menetap bersama keluarganya di kawasan Sentosa di sini.
Sepanjang tempoh kehilangan hubungan itu, keluarga telah berusaha mendapatkan maklumat menerusi saudara-mara serta pelbagai saluran lain namun masih gagal mengesan keberadaannya.
Keluarga turut memaklumkan nombor telefon dan akaun Facebook milik wanita berkenaan dipercayai masih aktif digunakan, namun setiap cubaan menghubungi melalui panggilan telefon dan mesej tidak menerima sebarang maklum balas.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita terbabit diminta tampil membantu dengan menghubungi talian 016-5898909 atau 013-4623319.
Oleh Tarani Lanting