
PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu dan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa esok.
Rafizi yang merupakan Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau dan Nik Nazmi, Ahli Parlimen Setiawangsa akan menulis surat mengenai keputusan berkenaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul esok.
Pada sama sama, surat perletakan jawatan keluar daripada parti turut akan diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh pada Selasa (19 Mei).
Pengumuman perkara itu dibuat oleh kedua-dua mereka pada sidang media bersempena dengan Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik Rafizi dan Nik Nazmi, di sini, hari ini.
Terdahulu, Rafizi bersama Nik Nazmi mengumum mengambil alih Parti Bersama Malaysia daripada pengasas yang juga presidennya, Tan Gim Theam, sebagai wadah baharu perjuangan politik mereka.
Parti Bersama Malaysia ditubuhkan pada 2 Disember 2016 dan aktif di Pulau Pinang. – Bernama