BINTULU: Seorang kontraktor kesal selepas aduannya melibatkan beberapa kejadian berbeza di Balai Polis Mukah tidak membuahkan sebarang hasil sehingga kini.
Dalam satu kejadian pada 2018, mangsa dikenali sebagai Wong menjumpai seorang individu tidak dikenali memandu kenderaan dengan nombor pendaftaran yang sama dengannya semasa berada di Selangau.
Mangsa kemudian bertindak menahan individu itu bersama pihak polis sebelum membawanya ke Balai Polis Mukah.
Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan diambil ke atas suspek malahan telah dibebaskan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.
Pada 25 Disember tahun lepas, Wong membuat satu lagi aduan di Balai Polis Mukah berkenaan seorang lelaki yang belum memulangkan sejumlah wang kepadanya.
Katanya, dia telah memasukkan wang deposit bernilai RM30,000 kepada lelaki itu bagi tujuan membeli sebuah lori yang bernilai RM50,000.
Difahamkan, urusan jual itu tidak berjaya apabila lori tersebut masih belum diserahkan oleh individu berkenaan biarpun wang deposit telah dimasukkan.
Mangsa kemudian bertindak menghubungi syarikat milik keluarga individu terbabit, namun dinafikan urusan itu mempunyai kaitan dengan syarikat mereka.
Susulan itu, suspek bersetuju untuk mengembalikan wang deposit tersebut tetapi hingga saat ini mangsa belum menerima wang itu sehingga dia terpaksa membuat laporan polis.
“Tapi sampai sekarang, saya belum mendengar sebarang tindakan pun diambil daripada pihak polis Mukah,” katanya kepada sidang media selepas memaklumkan perkara itu kepada Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing di sebuah hotel di sini, semalam.
Justeru itu, Datuk Sri Tiong berharap siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca dan masalah di balai tersebut sehingga membiarkan kejadian sedemikian berlaku.
“Hal sebegini tidak seharusnya berlaku kepada rakyat dan diharap pihak atasan dapat melihat dan menyiasat perkara tersebut,” ujarnya.
Oleh CAROLYNE UTIH